Saturday 13 October 2012

10. Mahagalang 'Baka' Waris Budianda yang 'Gahara'

Dikalangan pemuka-pemuka adat, pencinta dan pengamal Adat Perpatih di Negeri Sembilan, apabila membicarakan asal-usul adat perpatih yang dibawa oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang dari Minangakabau dan akhirnya diterima pakai oleh masyarakat di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka itu, tidak akan lengkap tanpa menyebut satu nama besar yang dinisbahkan sebagai asal sebenar ‘BAKA’ keturunan Suku Biduanda yang mendominasi penyandang pesaka-pesaka besar adat di Negeri Sembilan.

Pesaka Dato’-Dato’ Undang Luak dan kebanyakan pesaka Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung termasuk pesaka Dato’ Batin Beradat di Luak Jempol itu, salasilah keturunannya bertaut sampai kepada beliau.


Nama itu ialah Menggalang atau Dato’ Batin Mahagalang, cucu saudara benar kepada Dato’ Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.


Mengikut riwayat, semasa Dato’ Perpatih Nan Sebatang hendak melancarkan ‘Lancang Kuning’nya untuk berlayar meninggalkan kampung halamannya Padang Lawas di Luhak Tanah Datar di Minangkabau, beliau terpaksa menggalangkan anak sulung saudaranya yang sedang 'bunting sulung' pula (di dalam terombo Biduanda Salasilah disebut namanya Soko Upik tentunya bukan namanya yang sebenar) di hadapan lancangnya untuk membolehkan lancang itu diluncurkan dengan mudah berdasarkan mimpi beliau yang mengkehendaki begitu, selepas usaha melancarkannya sebelum itu tidak berjaya walaupun ditolak menggunakan tenaga manusia yang ramai. Selepas lancang itu berjaya dilancarkan didapati anak saudaranya yang menjadi penggalang itu selamat dan tidak cedera sedikit jua pun seketika itu pula melahirkan seorang anak lelaki lalu diberi nama Menggalang atau Mahagalang. Dato’ Perpatih pun berlayar meniggalkan tanah Minang.


Di Minangkabau, adat anak muda hendaklah keluar mengembara untuk mencari pengalaman yang dianggap sebagai satu kemestian seperti bunyi serangkap pantun:-

Lang kota terbang ke ulu
Membuat sarang di ulu aai
Baiklah rang modo merantau dulu
Di kampung balun baguno lai

Begitulah Menggalang apabila berumur lebih kurang dua puluh tahun, beliau telah berlayar meninggalkan kampung halamannya mengikut jejak Datuk saudaranya Perpatih Nan Sebatang yang tidak diketahui berada di mana, merantau ke Semenanjung hingga akhirnya beliau bertemu dengan datuk saudaranya itu di Sungai Ujung. Di Sungai Ujung beliau dikahwinkan dengan seorang anak perempuan Tok Batin Bercanggai Besi yang menjadi sahabat karib kepada Perpatih Nan Sebatang (Tok Batin Bercanggai Besi seperti juga bapanya Seri Alam sebelum menjadi Tok Batin dipercayai pernah berkhidmat sebagai Biduanda di istana Raja Melaka).


Takdir menyebelahi Menggalang apabila bapa mertuanya meninggal, beliau telah dilantik menjadi Tok Batin dengan gelaran Dato’ Batin Mahagalang. Dato’ Batin Mahagalang mendapat empat orang anak dengan isterinya anak Tok Batin Bercanggai Besi itu. Keempat-empat anaknya itu semuanya menjadi Dato’ Undang’. Yang tua lelaki dijadikan Undang Luak Sungai Ujung, yang tengah juga lelaki dijadikan Undang Luak Jelebu, anak lelaki bongsunya dijadikan Undang Luak Rembau manakala anaknya yang alang (ketiga) dijadikan Undang Luak Johol. Beliau sahajalah yang merupakan seorang Soko (perempuan) yang dijadikan Dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan.



No comments:

Post a Comment