Saturday 13 October 2012

17. Adat Pengganti Penyandang Pesaka Dato' Penghulu Luak Jempol

Pentadbiran adat di Luak Jempol diketuai oleh seorang Dato’ Penghulu Luak yang dipilih/dipersetujui oleh Dato’-Dato’ Lembaga suku yang dua belas. Calon yang dipilih mestilah dari suku Biduanda Asal dikalangan suku Biduanda Waris sebagai ‘keutamaan’.Keutamaan di sini kerana adat dahulu kala menggariskan:-
  • Negeri milik Biduanda Waris – (Penduduk asal)
  • Adat milik suku dua belas – (Pendatang dari Minangkabau)

Walaupun dalam adat menggariskan bahawa perlantikan pesaka Dato’ Penghulu Luak itu dipilih dari kalangan suku Biduanda Waris, namun setakat ini (Dato’ Penghulu Luak yang ke-10) pesaka itu belum pernah melimpah keluar dari perut Biduanda Pasak (Biduanda Salasilah di hilir) kepada Biduanda Asal perut Salasilah di hulu.




MINIT KERAPATAN BIDUANDA PASAK MENCADANGKAN TO’ MUDA  MENJADI BAKAL PENGGANTI PENGHULU LUAK

Yang Mulia Dato’ Mohd Hashim bin Abdullah, Dato’ Penghulu Luak Jempol yang ke-10 mewakili sukunya Biduanda Pasak telah menyembahkan sepucuk surat yang merupakan minit kerapatan Biduanda Pasak kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar ibn Almarhum Tuanku Abd Rahman bertarikh 18hb Mac 2005, memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan dalam buku Luak Tanah Mengandung muka surat 128 No: 9, Perlantikan Penghulu Luak (dan menghentikannya) dengan keputusan kerapatan yang telah sama-sama dipersetujui (oleh Biduanda Pasak) pada hari ini melantik Dato’ Paduka Tuan sebagai bakal merangkap To’ Muda.

Apabila diteliti dengan cermat bahawa surat itu sebenarnya mengandungi elemen-elemen tohmahan, emosi dan tergesa-gesa. Apa yang tertulis di dalam buku Luak Tanah Mengandung itu di para 9 mukasurat 128 itu ialah adat yang digunakan sejak Jempol mengenali pesaka Penghulu Luak. Tidak ada salah dan cacat celanya kalau dipraktikkan dengan betul dan jujur.


Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa sesungguhnya pesaka Dato’ Penghulu Luak itu bukan hak mutlak suku Biduanda Pasak perut Tarum dan Mayang. Cuma sebelum ini secara kebetulan pesaka itu dipergilirkan dalam dua perut itu sahaja.


Bahawa hak mutlak mempunyai pesaka Dato’ Penghulu itu ialah Suku yang dua belas. Hak mereka memilih dan mempersetujui dari kalangan ‘MATABENIH’ yang dikemukakan oleh suku Biduanda Waris, kerana perbilangan adat mengatakan:-

Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu/Undang menjadikan Yang Dipertuan

Surat minit kerapatan Biduanda Pasak yang disembahkan dan ditandatangani oleh Dato’ Penghulu Luak Jempol itu ternyata bukan keputusan kerapatan yang sebulat suara dipersetujui oleh semua Dato’-Dato’ Lembaga suku yang dua belas di Luak Jempol walaupun dihadiri oleh seorang Dato’ Lembaga (Dato Lela Raja Dato’ Mohd Mor bin Wahab) dari suku Tiga Batu. Tetapi dari segi adat beliau ternyata tidak ada hak menghadiri apalagi sama-sama mencadang dan membuat keputusan saperti yang tercatat dalam minit kerapatan itu. Sama ada bagi pihak sukunya apa lagi bagi pihak seluruh Dato’-Dato’ Lembaga yang lain. Kerana 'Adat sawah berlopak-lopak Adat Durian berpangsa-pangsa'.


Semasa beliau sakit yang membawa kematiannya, Dato’ Umbi Ramli bin Yusop besama Dato’ Dagang Sallih bin Hj. Atan sempat melawat di rumahnya. Dalam perbualan ringkas antara lain beliau menyebut tentang minit surat  kerapatan suku Biduanda Pasak yang bertarikh 18hb Mac 2005 yang dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar itu. Beliau telah memohon maaf kepada Dato’ Umbi Ramli kerana katanya beliau telah melakukan kesilapan kerana  menyertai dan campur mulut dalam kerapatan itu. YM Dato’ Penghulu Luak yang telah menandatangani dan menurunkan cop resminya kepada minit itu adalah satu tindakan yang nampaknya tergesa-gesa, Demikian kata beliau.


Tidak mengapa kalau suku Biduanda Pasak menetapkan siapa-siapa juga dari kalangan sukunya sebagai calon ‘matabenih’ selain adanya calon dari suku-suku Biduanda Asal yang lain. Kerana keputusan siapa yang akan menjadi Dato’ Penghulu Luak itu akan diputuskan oleh kebulatan Dato’-Dato’ Lembaga suku yang dua belas sendiri.  Dan siapa-siapa yang telah dilantik menjadi Dato’ Penghulu, beliau akan mempunyai kuasa-kuasa adat yang mutlak yang mesti dipatuhi sesuai dengan kehormatan dan kedudukannya sebagai seorang Dato’ Penghulu.


Adat yang teruca terpakai tentang penggantian Dato’ Penghulu Luak tidak ada ‘BAKAL’. Apabila berlaku kekosongan maka adat menggantinya ditangan Dato’-Dato’ Lembaga suku yang dua belas. Menetapkan 'bakal' adalah satu monopoli. Pengganti Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar pun tidak ada ‘bakal’ yang telah ditentukan. Kerana keputusan perlantikan baginda  ditangan Dato’-Dato’ Undang Luak.


Di Luak Jempol apabila berlaku kekosongan Dato’ Penghulu Luak sama ada kerana kematian, sakit kronik yang berpanjangan atau gila yang tidak sembuh atau kerana dima’zulkan maka tugas pesaka itu akan dipangku oleh Dato’ Lela Raja selama seratus (100) hari atau sehingga beliau sembuh atau jika kes kematian, sehingga ‘matabenih’ Dato’ Penghulu Luak baru telah dipersetujui. Selepas menerima tanggungjawab itu, Dato’ Lela Raja lah yang berhak mengarah dan menyelia untuk mengebumikan jenazah bekas Dato’ Penghulu Luak yang telah meninggal itu.


Begitulah adat yang diamalkan sejak Luak Jempol mempunyai Penghulu. Adat itu tidak boleh diubah oleh keputusan kerapatan satu-satu pihak sahaja dengan membelakangkan suara semua Dato’-Dato’ Lembaga yang punya adat itu. Adat, kalau dicabut layu kalau dianjak mati.


No comments:

Post a Comment