Saturday 13 October 2012

12. Kelebihan Suku Biduanda

Kelebihan Suku Biduanda dalam pentadbiran adat yang bermula dari Sungai Ujung itu bermula apabila anak Tok Batinnya Puteri Mayang Selida berkahwin dengan Mahagalang cucu saudara benar Dato’ Perpatih Nan Sebatang yang datang dari alam Minangkabau itu. Memang menjadi kebiasaan seorang pendatang baru ada mempunyai ciri-ciri kelebihan pada pandangan penduduk tempatan. Sebagai seorang anak rantau yang budiman, Menggalang sangat dihormati dan dimuliakan oleh pendatang-pendatang Minangkabau yang sedia ada di Sungai Ujung kerana memang beliau berasal dari keturunan bangsawan di Minangkabau tambahan (klik) urang awak dan beliau dihormatmuliakan juga oleh orang asli penduduk tempatan kerana telah berkahwin dengan anak Tok Batinnya. Dengan adanya beberapa kelebihan yang terkumpul kepada Mahagalang itu penduduk tempatan mengganggap semua anak-anak yang lahir dari perkahwinan Mahagalang dengan isterinya Puteri Mayang Selida itu lebih mulia sebagai anak Biduanda yang berdarah ‘GAHARA’.

Kerana mempunyai darah gahara itulah semua luak Jelebu, Rembau, Johol dan Sungai Ujung sendiri telah bersetuju menerima perlantikan semua anak-anak Dato’ Batin Mahagalang cucu kepada Dato’ Batin Bercanggai Besi itu untuk menjadi Dato’ Undang.


Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung juga termasuk Dato’-Dato’ Batin dilantik dari kalangan Suku Biduanda. Walaupun Dato’-Dato’ Penghulu Luak Terachi dan Gunung Pasir tidak dilantik dari kalangan suku Biduanda, itu ada sebab lain namun menjadi syarat di Terachi setiap  Penghulu Luak yang dilantik kejawatan itu isterinya hendaklah seorang perempuan yang bersuku Biduanda Waris.


Kerana mengutamakan darah Biduanda yang gahara itulah juga yang merangsang pendatang-pendatang Minang yang bertanggungjawab hendak melantik Penghulu Luak pertama di Luak Jempol berurusan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan matabenih dari keturunan Dato’ Batin Mahagalang sehingga pergi mengadap kepada YM Dato’ Undang Luak Johol yang mana mereka tahu Dato’ Undang Luak Johol itu adalah waris Soko tunggal Biduanda gahara dari Batin Mahagalang di Sungai Ujung itu.


No comments:

Post a Comment