Saturday 13 October 2012

24. Dato' Batin Jempol Dan Biduanda Salasilah

Pernah seorang Pegawai Jajahan Kuala Pilah menulis surat kepada Dato’ Penghulu Luak Jempol bertarikh 12.02.49 yang ditandatangani oleh Encik Lokman b/p Pegawai Jajahan seperti salinan surat yang dikelatkan.
Kandungan surat itu ternyata keliru dan berbeza dengan surat-surat D.O yang sebelumnya dan menunjukan ketidakfahaman Tuan itu tentang kedudukan Dato’ Batin Jempol yang memiliki secara adat kepada dusun-dusun pesaka Ponja, Sialang, Jala-Jala Sungai Kar dan Dusun Lumut itu. Sebenarnya memanglah dusun-dusun itu di atas tanah kerajaan tetapi kewujudannya ialah diusaha dan ditanam oleh nenek moyang Batin itu untuk warisnya Biduanda Salasilah. Kerana itulah mereka menuntut hak kepada harta (dusun-dusun) itu.


Pertelingkahan timbul yang dikatakan itu ialah kerana orang-orang Melayu selain dari Biduanda Salasilah bertindak mencerobohi untuk mengambil buah-buahan dari dusun-dusun berkenaan secara bebas tanpa memperdulikan Dato’ Batin dan anak buahnya lagi. Sebenarnya Biduanda Salasilah sahaja yang patut mendapat ‘kemanjaan’ kerana dusun-dusun itu pesaka hasil usaha dari datuk neneknya dan dalam pada itu memang ada pula surat-surat kuasa yang diberikan oleh Pegawai Jajahan dan Pegawai Hutan Kuala Pilah terdahulu tentangnya. Kerana itu tidak patut Pegawai berkenaan membuat pemahaman silap dan mengambil sikap yang merugikan dan menganiaya mereka yang benar-benar berhak.


Tuan ini juga nampaknya sengaja tidak menyedari bahawa moyang Dato’ Batin Jempol (Biduanda Salasilah) ini ialah orang yang membuka kawasan Kampung Guntor dan persekitannya lebih awal dari moyang Dato’ Penghulu Luak Jempol yang dijemput untuk menjadi Penghulu di Luak Jempol. Manakala orang asli sekarang yang difahami oleh Tuan itu mengikut istilah bahasa tidak mengikut fakta. Beliau hanya mengenali orang asli yang datang ke situ dizaman Dato’ Batin ke-3 iaitu Dato’ Batin Rendang. Mereka itu tidak pernah diberi menyandang pesaka Dato’ Batin sejak dahulu kala kerana mereka bukan waris yang berhak dari segi salasilahnya. Mereka datang ke Guntur diterima baik oleh Dato’ Batin sebagai keluarga dan tidak disisih dari menikmati sebarang hasil buah-buahan dan dibenarkan pula duduk membuat kediaman dalam kawasan tanah kepunyaan Dato’ Batin di Lopan Jala jala. Sehinggalah berubah senarionya selepas JHEOA ditubuhkan dan kerajaan mengambil balik tanah ‘bebas di lopan jala jala‘ itu yang kemudiannya telah dijadikan penempatan tetap perkampungan orang asli di Guntor dan JHEOA telah bertindak menyisihkan Dato’ Batin Jempol dan warisnya Biduanda Salasilah dengan tidak mengiktirafnya sebagai orang asli di situ.


Bukan setakat itu sahaja bahkan Dusun Lumut harta pesaka turun temurun yang telah diuntukkan kepada Dato’ Batin Jempol dan warisnya Biduanda Salasilah dalam pembahagian secara MOU pada tahun 1962 semasa Dato’ Batin Ibrahim bin Amin memberikan persetujuan tanah Lopan Jala Jala itu diambil alih oleh kerajaan dahulu itu pun telah di‘rampas’ atas alasan di dalam pemetaan pejabat ukur Negeri Sembilan tanah itu ditandakan ‘tanah rezab orang asli’ walaupun sebenarnya Biduanda Salasilah yang diketuai Dato’ Batinnya itulah peneroka asal dan penduduk asli yang empunya hak pesaka dusun-dusun buatan nenek moyang mereka di kawasan itu.




No comments:

Post a Comment