Saturday 13 October 2012

34. Ciri-Ciri Penampilan Tempat Semenda Dan Orang Semenda

Tempat semenda (Tompek mondo) apabila berada sesamanya dipanggilkan kumpulan itu ‘SEADAT’ dan kumpulan orang semenda (orang mondo) dipanggil ‘SERESAM’. Tempat semenda kadim maknanya ialah tempat semenda yang hampir sekali tali persaudaraannya dengan isteri orang semenda itu seperti abang atau adik kandungnya atau bapa-bapa saudara adik-beradik ibunya. Mereka itu dari segi adatnya yang boleh membuka atau mengunci peti pusaka turun temurun, yang boleh membeliakkan mata dan boleh membusurkan dada, boleh memakan habis mengerat putus.
Tempat semenda hendaklah bersifat sempurna dalam mengendalikan satu-satu masalah yang melibatkan orang semendanya seperti kata adat:-

Ular dipalu jangan mati
Kayu pemalu jangan patah
Tanah dipalu jangan lembang

Hakikatnya hendaklah bersifat adil, murah, tegas dan ihsan.


Manakala orang semenda kepada tempat semenda disegi adatnya:-

Kalau cerdik tempat berunding
Kalau bodoh disuruh arah
Kalau pekak pembakar bedil
Kalau buta peniup lesung
Kalau alim hendakkan doanya
Kalau tepok penunggu jemuran
Kalau tinggi banir tempat berlindung
Kalau pokok rimbun tempat berteduh

Selepas perkahwinan haruslah tempat semenda menyerahkan kawalan harta pesaka berupa rumah dan kampung halaman kepada orang semenda dengan kata-kata seperti berikut:-

"Sekarang saya beri amanahlah kepada engkau memerintah bendul yang empat. Engkau belalah (kalau ada) sawah ladang, kampung halaman ini. Mana yang ada bela peliharalah, mana yang tak ada cari belilah, mana yang sudah ada kalau kurang, cari tambahlah."

No comments:

Post a Comment