Saturday 13 October 2012

27. Dato' Sialang Puteh

Gelaran Dato’ Sialang Puteh sebenarnya berasal dari perkataan Dato’ Si Helang Puteh, adalah gelaran pesaka besar di bawah Dato’ Batin Jempol. Gelaran ini wujud di dalam Biduanda Salasilah kurniaan dari Yamtuan Besar Seri Menanti pada masa pemerintahan Dato’ Batin Jempol yang ke-3 iaitu Batin Rendang, ekoran dari satu peristiwa yang memerlukan tindakan bijak, patriotik dan jati diri. Satu cerita lisan dikisahkan oleh Puan Ma’ani binti Ma’ali yang telah diceritakan oleh ibunya Wok binti Langgi seorang soko tua di dalam Biduanda Salasilah. Menceritakan bermulanya pesaka Sialang Puteh seperti berikut:-
"Dulu orang besar di bawah Dato’ Batin itu bergelar Jenang. Pada satu ketika Dato’ Batin Rendang mendapat perintah dari istana supaya mengadakan seorang dari tujuh orang ‘ghayat’ untuk ganti bunuh bagi kematian seorang Orang Besar istana yang telah mati dibunuh dan tidak diketahui siapa pembunuhnya. Sebagai rakyat yang taat, arahan daripada istana itu dipatuhi. Tetapi melihatkan situasi itu memungkinkan seorang rakyat yang tidak berdosa akan teraniaya, maka Dato’ Batin menghantar orang kepercayaanya iaitu adiknya sendiri bernama Jenang Rompang bagi memohon kurnia untuk menjalankan siasatan sebelum menyerahkan ‘ghayat’ untuk ganti bunuh itu. Permohonan diberkenankan. Setelah menjalankan siasatan dengan rapi dan bijaksana, Jenang Rompang telah dapat mengenali pembunuh yang dikehendaki iaitu pembuhuhan dilakukan sendiri oleh Imam Perang Istana. Setelah pembunuh dikenali, tidaklah perlu lagi diserahkan mana-mana ‘ghayat’ untuk jadi ganti bunuh itu"
"Kebijaksanaan Jenang Rompang mengendalikan kes itu mendapat perhatian dari Tengku Ampuan, lalu mencadangkan supaya Yam Tuan mengurniakan satu gelaran yang sesuai untuknya. Cadangan Tengku Ampuan mendapat pertimbangan Yam Tuan, lalu baginda mengurniakan satu gelaran yang belum pernah diberikan kepada orang lain sebelum itu iaitu Dato’ Si Helang Puteh dengan ungkapan ‘Kuk ke laut berlayar, kuk ke darat menyambar’. Selepas balik dari kejayaan itu, Dato’ Batin Rendang dengan rasa amat sukacita, memberikan hadiah satu anak sungai bagi penempatan Jenang Rompang dan keluarganya, tempat itu hingga sekarang dikenali sebagai Dusun Sungai Sialang. Bermula dari itu Dato’ Si Helang Puteh (yang akhirnya dipanggil Dato’ Sialang Puteh) menjadi satu pesaka penting dalam pentadbiran suku Biduanda Salasilah dan gelaran Jenang terus tidak digunakan lagi hingga sekarang. Fungsi Dato’ Sialang Puteh kepada Dato’ Batin sebagai ‘pelapik dada’ dan di dalam Suku Biduanda Salasilah sebagai ketua Buapak"

Walaubagaimanapun, seperti juga cerita-cerita lisan yang lain, peristiwa yang diceritakan ini tidak pula dituliskan di mana-mana dan tidak juga menyebutkan siapakah pegawai istana yang dibunuh, siapa Yam Tuan yang memerintah pada masa kejadian itu dan siapa pula nama Tengku Ampuan yang budiman yang mencadangkan pengurniaan gelaran itu namun begitulah cerita lisan yang diterima sejak turun temurun menjadi sebahagian 'terombo' dalam Biduanda Salasilah.

Dato’ Sialang Puteh adalah satu pesaka besar yang lebih kurang sama tarafnya dengan Dato’-Dato’ Lembaga bagi suku yang 12. Kerana gelaran pesaka itu adalah dari kurniaan Yam Tuan Besar. Sebab  itulah sesiapa individu yang menyandang Dato’ Sialang Puteh tidak boleh lagi dilantik menjadi Dato’ Lembaga, tetapi dia boleh menjadi Dato’ Batin.

Pemakaian gelaran Sialang Puteh bermula dari Dato’ Rampang, sebelumnya telah ada dua orang yang menjadi pembantu kepada To’ Batin, tetapi bergelar To’ Jenang.



27.1 Senarai Penyandang To’ Jenang Dan Dato’ Sialang Puteh


TO’ JENANG   /  DATO’ SIALANG PUTEH
IBU SOKO
To’ Jenang Belukang
-
To’ Jenang Pais
-
Dato’ Sialang/Si Helang Puteh Rompang
-
Dato’ Sialang Puteh Jauu @ Rangkum
-
Dato’ Sialang Puteh Layar B. Temenggong
-
Dato’ Sialang Puteh Potok B. Salam
-
Dato’ Sialang Puteh Sudin B. Siadek
Tiamah Bt. Siadek
Dato’ Sialang Puteh Tumpat B. Osman
Tiamah Bt. Siadek
Dato’ Sialang Puteh Ma’isin B. Ma’ali
Wok Bt. Langgi
Dato’ Sialang Puteh Zainal B. Ma’ali
Ma’ani  Bt. Ma’ali
Dato’ Sialang Puteh Razali B. Mat Dom
Hasmah  Bt. Md. Dom


Sesuai dengan nama ungkapan ‘Kuk ke laut berlayar (menyunsong buih), kuk ke darat menyambar (menyunsong angin’), Dato’ Sialang Puteh adalah ‘bertali ke darat berjenjang ke baruh’ sebagai tali penghubung antara anak buah di darat (dalam hutan) dan di baruh (luar hutan) sebagai ‘pelapik dada’ kepada Batin. Dalam Biduanda Salasilah (Perut Sialang Puteh) ia menjadi KETUA kepada Buapak, orang besar dan tua-tua waris dalam warisnya serta menjadi lambang kepada hak orang asli dalam pemerintahan beradat di Luak Jempol.

Walaupun kedudukannya agak penting sesuai dengan tarafnya seperti juga Dato’ Batin, Dato’ Sialang Puteh hingga kini (2009) tidak lagi menerima sebarang ganjaran, imbuhan mahupun elaun dari kerajaan, sungguhpun pada masa Dato’ Sialang Puteh Potok, Dato’ Sialang Puteh Tumpat dan Dato’ Sialang Puteh Sudin dahulu pernah menikmati ‘kemanjaan’ sejalur tanah kampung dan sawah padi yang dikecualikan dari cukai sebagai tanah ‘Kelapakan Dato’ Sialang Puteh’ dikenali sebagai ‘tanah free Dato’ Sialang’ atas nama Tiamah bt. Siadik di lot nombor 1144 dan 1145 di Kampung Kasau Mukim Ulu Jempol.


27.2  Salasilah Keturunan Dato' Sialang Puteh Bermula Dari To' Jenang Belukang






27.3  Wajah YM Dato' Sialang Puteh ke-7





27.4  Wajah Dato' Sialang Puteh ke-8





27.5  Wajah Dato' Sialang Puteh ke-9













































No comments:

Post a Comment