Saturday, 13 October 2012

11. Suku Biduanda

Tidaklah diketahui dengan tepat asal usul gelaran BIDUANDA yang digelarkan kepada salah satu suku orang asli di Negeri Sembilan itu.

Mengikut Encik Abu Chek bin Mat Sarum penulis buku ‘Asal Usul Adat Perpatih’ yang ditulisnya pada tahun 1961, perkataan Biduanda itu dari Badwi. Orang Badwi dari tanah Arab yang sebelum datang membuka negeri di Negeri Sembilan telah singgah di Indocina dan orang-orang Indocina memanggil orang-orang Arab itu Biduanda. Beliau juga menulis bahawa seolah-olah semua orang asli di Negeri Sembilan bersuku Biduanda.


Saranan itu berkemungkinan tidak tepat kerana:-

  1. Orang Arab yang datang ke Tanah Melayu sudah sedia beragama Islam. Manakala orang-orang Biduanda yang telah sedia ada di Negeri Sembilan pada masa itu penganut ‘animisme’ barulah mengenal Islam selepas kedatangan orang-orang Arab itu.
  2. Tidak semua orang asli di Negeri Sembilan bersuku Biduanda bahkan terdapat berbagai-bagai suku seperti Semelai, Jakun, Temuan, Temiar dan lain-lain.

Di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol, ada disebut bahawa, gelaran 'Biduanda' itu berasal dari gelaran orang yang bertaraf  pegawai yang bertugas di dalam istana raja-raja zaman silam. Bahkan memang terdapat gelaran Biduanda di dalam buku-buku dan hikayat-hikayat lama yang merujuk adanya pegawai dalam istana zaman dahulu itu yang dipanggil 'Biduanda' khususnya di istana Temasik dan Melaka. Tidak semua Biduanda petugas-petugas di istana itu bertugas hingga akhir hayat namun mereka tetap dikenali sebagai Biduanda walaupun selepas bersara.


Selepas bersara mereka membawa diri dan membuka negeri (perkampungan) seperti Tok Batin Seri Alam bapa kepada Tok Batin Bercanggai Besi yang membuka Sungai Ujung itu. Pengikut-pengikut mereka biasanya dipanggil ‘Ghayat’ (rakyat), walaupun mereka terdiri daripada berbagai-bagai nama suku misalnya Jakun, Semelai Temiar dan lain-lain. Di Negeri Sembilan panggilan itu kekal beberapa lama sehinggalah diselaraskan dengan panggilan 'Orang Asli' kira-kira pada pertengahan kurun ke-20, selepas Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ditubuhkan.


1 comment:

  1. Salam boleh cito kan tak serba sedikit tentang sejarah ni
    Biduanda -> waris -> nan dua carak ->lela maharaja

    ReplyDelete