To’ Batin Pak Sudum Durai anak Batin (Puteri) Kunun adalah cucu Dato’ Korbau. Ibunya memberinya nama Durai mengambil sempena nama moyangnya Berdurai Besi isteri Dato’ Batin Bercanggai Besi. Beliau bersama Pak Belukang dan saudara perempuannya Nenek Relong adalah Biduanda Asal (Salasilah) sejak mudanya membuat penempatan di Bukit Salai di Pasir Besar. Mereka mendiami perkampungan itu dengan aman dan selesa. Setelah menjelang umur agak tua sedikit beliau dengan beberapa orang saudara dan pengikutnya terpaksa mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman kerana sebab yang dipercayai ada hubungkait dengan peristiwa kejatuhan kerajaan Melayu di Melaka.
Sejak kekalahan Melaka itu acapkali benar sepion-sepion penjajah datang ke Pasir Besar kononnya bagi menjejaki mereka yang dianggap sebagai pemberontak yang tidak mahu patuh kepada pihak penjajah di Melaka itu. Dengan itu penduduk-penduduk di perkampungan itu kebanyakannya telah merasa terancam dan tidak lagi tenteram. Bagi mereka yang ada pengikut seperti Pak Sudum Durai telah membuat keputusan meninggalkan Bukit Salai di Pasir Besar mencari penempatan baru kebetulan pula kehidupan orang asli memang suka berpindah randah. Pak Sudum Durai yang memilih memudiki Sungai Leban Condong hingga ke hulunya dan akhirnya membuat penempatan di Danau Rasau (Danau adalah satu lubuk besar dan Rasau adalah sejenis tumbuhan rumpai air) di Ulu Jempol. Sekarang tempat itu dinamakan Kampung Guntur.
Dari Bukit Salai di Pasir Besar inilah juga tempat asalnya Dato’ Daim Penghulu pertama Luak Jempol bersama ibunya Patam dijemput pada awal sejarah Jempol berPenghulu, setelah mendapat persetujuan dari Undang Johol, Dato’ Rambutan Jantan.
No comments:
Post a Comment