Saturday, 13 October 2012

8. Peneroka Awal

(menurut tulisan Dato' Komo Hj Duaji)

Terdapat berbagai pendapat mengenai penerokaan awal Luak Jempol ini. Kesahihan dakwaan ini masih tidak dapat ditentukan. Ada cerita yang mengatakan bermula daripada sembilan (9) orang dalam satu kumpulan yang bersahabat karib membuka kawasan tersebut. Mereka dikatakan berasal dari Sumatera. Bersama-sama mereka terdapat juga pengikut-pengikut atau anak-anak buah yang ikut mencari penempatan baru.


Penduduk di Tanah Minang juga mengakui bahawa anak-anak Minangkabau digalakkan merantau dengan meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari pengalaman hidup. Bersesuaian  dengan ungkapan yang menyebut: -

Keratau madang di hulu
Babuah babungo balun
Marantau bujang dahulu
Di rumah paguno balun

Rombongan tersebut singgah di Merbau Seratus (Pasir Besar).  Di situ mereka membuat penempatan. Apabila sudah membuat penempatan di Pasir Besar mereka mudik lagi ke hulu dengan meninggalkan beberapa keluarga menetap di sana. Cara mereka meneroka sesuatu tempat juga mempunyai persamaan dengan peneroka-peneroka di Ulu Muar.


Perjalanan melalui sungai tersebut hingga sampai ke beberapa cabang lagi yang mengalir masuk ke Sungai Muar. Mereka berpecah di situ. Sebahagian mudik masuk Sungai Jelai terus ke Johol, manakala sebahagian lagi memasuki Pahang.


Kumpulan yang mudik mengikut Sungai Jempol terus mencari penempatan di situ yang sesuai untuk bercucuk tanam. Di kawasan yang mereka terokai itu memang sudah didiami oleh anak tempatan suku kaum Asli. Masyarakat mereka belumlah ramai. Kampung yang mereka terokai itu dikenali sebagai ‘Penarikan’. Sebagai golongan migran mereka  meminta izin daripada anak-anak tempatan untuk memulakan penghidupan baru di situ.


Hubungan mereka dengan anak-anak tempatan terjalin akrab hingga berlakunya semenda menyemenda antara satu sama lain. Setelah penduduknya bertambah ramai melalui semenda menyemenda itu, mereka membentuk pentadbiran di bawah seorang ketua. Disebabkan golongan migran berkenaan lebih memahami peraturan dan pentadbiran, dilantiklah ketua dari puak mereka.


Bagaimanapun demi menjaga jalinan hubungan dengan anak-anak tempatan, mereka juga dibawa sama dalam pemerintahan. Bermula daripada sinilah terbentuknya sepuluh suku di kalangan penduduk di Jempol, dengan tiap-tiap suku mempunyai ketua yang diberi gelaran Dato’ Lembaga’.


Demikianlah fakta tulisan (yang telah diselitkan sedikit pembetulan) oleh YM Dato’ Komo Hj Duaji bin Bakar dalam buku Luak Tanah Mengandung tentang asal nama Jempol dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya diperturunkan dengan menyalinnya secara panjang lebar untuk dapat dinilai bersama.



KESIMPULAN

Berdasarkan tulisan di atas membuktikan kawasan itu (Penarikan) telah sedia didiami orang sebelum Datuk Sempadang dan pengikut-pengikutnya datang ke situ.

Berhubung dengan asal nama Jempol penulis yakin bahawa perkataan ‘JEMPOL’ yang diucapkan sambil menggenggam tangan dan menegakkan ibu jari ke atas oleh Datuk Sempadang sendiri atau pengikut-pengikutnya selepas selesai membuat tinjauan di kawasan sungai itulah sebenarnya yang menjadi asal nama Sungai Jempol seperti yang disebutkan oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman dalam risalahnya itu.


Ibu jari tangan dalam bahasa Jawa memang disebut Jempol. Jempol yang ditegakkan sambil menggenggam jari-jari tangan memanglah lumrah mengisyaratkan baik, bagus atau cantik.


Demikianlah perbincangan asal usul nama Luak Jempol yang dinisbahkan kepada sebatang sungai yang hulunya datang dari sebuah bukit yang dinamakan Bukit Peraja mengalir melalui Luak Jempol dengan kualanya masuk ke Sungai Muar.


Jempol sejak dahulu sentiasa terbahagi dua (2); dahulu bahagian Ulu di bawah Jelebu sehingga ada ungkapan 'Ulu Jempol serambi Jelebu' dan bahagian Hilir di bawah Johol sehingga ada ungkapan 'Kuala Jempol serambi Johol'. Sekarang, Ulu Jempol di bawah pentadbiran Daerah Kuala Pilah manakala Kuala Jempol di bawah pentadbiran Daerah Serting. Namun pentadbiran adatnya adalah satu. Luak Jempol.


Sempadan bahagian Ulu dan Kuala Jempol ialah tempat yang bernama Bukit Sempit yang jaraknya dari pekan Batu Kikir lebih kurang tiga kilometer menghala ke Padang Lebar.



No comments:

Post a Comment