Saturday, 13 October 2012

22. Dato' Batin Beradat Luak Jempol

Dato’ Batin Jempol bersuku Biduanda Salasilah. Biduanda asal yang pindah dari Bukit Salai di Pasir Besar, keturunan dari Dato’ Batin Mahagalang (Baka Biduanda Waris). Salasilah waris Dato’ Batin ini susur galurnya sama dengan keturunan Dato’ Undang Luak Johol dan Dato’ Penghulu Luak Jempol. Kerana salasilah mereka sampai kepada Dato’ Batin Mahagalang, Kerana itu suku ini dipanggil dengan nama Suku Biduanda Salasilah.
Kedatangan waris ini ke Jempol yang pada masa itu belum lagi bernama Jempol, didahului oleh satu keluarga tiga beradik yang bernama Pak Sudum Durai (Batin Jempol pertama) disertai oleh adiknya Jenang Belukang dan saudara perempuannya bernama Relung. Mereka datang meneroka ke Jempol lebih kurang pada  kurun ke-16, kerana mengelakkan diri dari gangguan ‘sepiun-sepiun’ penjajahan Portugis ke Melaka.


Senarai Penyandang Dato’ Batin yang ber-Suku Biduanda Salasilah di Luak Jempol.



Bil
Batin
Dari
Hingga
1
Batin Pak Sudum Durai
-
-
2
Batin Serpeh
-
-
3
Batin Rendang
-
-
4
Batin Tengah B. Pawang
-
1890
5
Batin Layar B. Temenggong
1890
18/8/1939
6
Batin Sudin B. Siadik
25/1/1940
27/10/1950
7
Batin Ibrahim B. Amin
24/4/1951
7/11/1979
8
Batin Zainudin B. Hamzah
3/1/1980
sekarang



22.1  SALASILAH KETURUNAN DATO' BATIN JEMPOL DARI YANG PERTAMA HINGGA SEKARANG



Pada zaman Batin Pak Sudum Durai, Batin Sepeh dan awal pemerintahan Dato’Batin Rendang, walaupun perut ini lebih rapat pertalian warisnya dengan Dato’ Undang Luak Johol mereka lebih cenderong menyembah kepada Undang Luak Jelebu kerana Ulu Jempol atau  Danau Rasau pada masa itu adalah di bawah pentadbiran Undang Luak Jelebu sehinggalah berlaku perbalahan merebut Ulu Jempol antara Dato’ Undang Luak Jelebu dengan Dato’ Penghulu Luak Jempol. Dalam perbalahan itu Dato’ Batin Rendang tidak lagi menyebelahi Undang Luak Jelebu tetapi menyebelahi Dato’ Hassan Penghulu Luak Jempol.

Hasil dari sokongan Dato’ Batin Rendang kepada Dato’ Penghulu Jempol itu, tambahan pula  Dato’ Batin Rendang telah memeluk Islam, ikatan persaudaraan dengan Dato’ Penghulu Luak yang sama asal keturunan dari Pasir Besar itu bertambah erat.


Barangkali kerana menyedari Dato’ Batin Jempol dengan Dato’ Penghulu Luak itu berada di dalam kelompok suku yang samalah pada satu ketika Martin Lister pernah menawarkan jawatan Penghulu di Ulu Jempol kepada Dato’ Batin Rendang tetapi telah ditolaknya dengan  kalimah yang begitu lunak,

"Tak payahlah, yang jadi penghulu di Kuala Jempol itu pun darah daging kita... tak patutlah satu sungai dua penghulu..."

Kalau orang tua itu bersetuju pada masa itu sudah tentu Dato’ Batin Jempol itu tidak bergelar Dato’ Batin lagi seperti sekarang.


Semua acara adat yang dibuat di Balai Dato’ Penghulu Luak dianggap tidak sempurna kalau tidak dihadiri oleh Dato’ Batin. Dari situlah bermulanya perbilangan adat berhubung dengan penggantian Dato’ Penghulu Luak:-

Matabenih dicari dek Paduka Tuan
Ditunjuk dek Dato’ Batin
Disembah dek Lembaga nang dua belas
Dishahkan dek Yamtuan

Dato’ Batin bersuku Biduanda Salasilah di Guntor sejak Dato’ Batin Layar bin Temenggong dikenali sebagai Dato’ Batin Beradat Luak Jempol.


Pemerintahan waris Dato’ Batin Jempol diselaraskan pada zaman Dato’ Batin Layar bin Temenggong iaitu setiap perlantikan Dato’ Batin dimaklumkenalkan kepada Dato’ Penghulu Luak dan sebagai budi bahasa dibayarkan adat sebahara mas manah, dengan demikian Dato’ Batin itu dikenali sebagai Dato’ Batin Beradat Luak Jempol. Dato’ Batin seperti biasa dibantu oleh Dato’ Sialang Puteh. Di bawah Dato’ Sialang Puteh ada dua (2) orang besar perut bergelar To’ Lakmana dan To’ Jekerah (Jurukerah). Dengan bidang tanggungjawab bagi perutnya masing-masing:-





Buat masa ini jurai pentadbiran To’ Jekerah itu tidak dirujuk lagi kepada Dato’ Batin Jempol sejak tahun 1960 kerana urusan perut orang asli itu dan seluruh komuniti orang asli telah diambil alih oleh JHEOA.

Dizaman pemerintahan Dato’ Batin Layar bin Temenggong juga (awal kurun ke-20) Biduanda Salasilah telah dirangkumkan oleh pentadbiran adat dan pentadbiran negeri ke dalam Biduanda Waris dan diberi hak yang sama untuk menyandang pesaka Lembaga.


Pada tahun 1918, pesaka Dato’ Lembaga Biduanda Waris yang bergelar Dato’ Umbi itu digilirkan menyandangnya kepada Teduh bin Abdullah dari perut Sialang Puteh/Salasilah bagi menggantikan Dato’ Umbi Datin yang telah meninggal dunia dari perut Biduanda Jawa.


Giliran sandangan pesaka Dato’ Lembaga yang diberikan kepada Teduh bin Abdullah itu ialah sebagai penyandang giliran ke-6 dalam Biduanda Waris dan giliran yang pertama bagi Biduanda Salasilah (Perut Sialang Puteh).


Dalam satu majlis keraian di Balai Penghulu Luak di Kuala Jempol, Dato’ Shukur telah mengurniakan gelaran To’ Semar Menteri kepada Kompot bin Budin, abang saudara kepada Dato’ Umbi Teduh bin Abdullah yang baru dilantik menyandang Dato’ Lembaga itu. Dato’ Shukur mengiktiraf Kompot yang menyandang gelaran To’ Semar Menteri itu sebagai Buapak di bawah Dato’ Umbi. Bagi menghormati kurniaan itu senario susunan ketua adat dalam Biduanda Salasilah telah bertambah. Selain dari Dato’ Batin dan Dato’ Sialang Puteh satu jurai pentadbiran adat ialah:-







Sebagai waris peneroka asal suku ini diketuai oleh Dato’ Batin (Beradat) yang dibantu oleh Dato’ Sialang Puteh yang juga bertindak sebagai ketua Buapak. Kedua-dua mereka berjambar tunggal tetapi berada di dalam lingkungan Lembaga Dato’ Umbi, selepas suku ini telah terangkum pentadbiran adatnya ke dalam Biduanda Waris sebaik sahaja Dato’ Teduh bin Abdullah dilantik menyandang pesaka lembaga Dato’ Umbi pada tahun 1918 itu.




22.2  SENARAI PENYANDANG PESAKA DATO’ BATIN BERADAT JEMPOL DAN IBU SOKONYA:-


DATO’ BATIN
IBU SOKO
Tok Batin Pak Sudum Durai 
-
Tok Batin Sepeh 
-
Dato’ Batin Rendang  Isam
Dato’ Batin Tengah B. Pawang Kampung
Dato’ Batin Layar B. Temenggong  Tiamah Bt. Siadek
Dato’ Batin Sudin B. Siadik Tiaja Bt. Abdullah
Dato’ Batin Ibrahim B. Amin Imbam Bt. Amin
Dato’ Batin Zainudin B. Hamzah Hjh. Sian Bt Hj Wahid


Berhubung dengan Dato’ Batin Luak Jempol ini, ada satu kisah yang trajis dan menjadi satu titik hitam istimewa dalam lipatan sejarah Batin-Batin Jempol.

Pada satu masa dizaman Dato’ Batin Rendang telah satu penjarahan ke Danau Rasau yang dilakukan oleh satu kumpulan ‘pelanggar’ dari Negeri Siak Sumatra yang melibatkan beberapa buah rumah temaksuklah rumah anak Dato Batin Rendang bernama Kampong yang suaminya bernama Pawang. Pawang yang kebetulan ada di rumah pada masa itu tidak sempat melarikan diri. Cuma sempat naik bersembunyi di atas  ‘peran’ rumahnya. Kumpulan pelanggar yang menyedari tempat Pawang bersembunyi dengan kejam telah bertindak ‘merunjang’ dengan senjata lembing dan keris dari bawah sehinggalah Pawang, ayah kepada Tengah mati terbunuh. Isterinya Kampong dijumpai bersembunyi di dalam kepuk padi bertutup dengan ‘terendak’  telah ditawan dan dibawa oleh kumpulan pelanggar itu ke Pasir Besar. Kerana Kampong ini seorang perempuan yang jelita, apabila sampai di Pasir Besar beliau telah dinikahi oleh seorang ketua kaum yang dihormati bernama Temenggong yang berasal dari tanah seberang.

Selepas beberapa lama berkahwin,  Kampong pun mengandung. Dalam keadaan yang demikian itu suaminya mengambil keputusan untuk balik ke Kampung nya di Sumatra dengan membawa isterinya bersama. Dalam pelayaran, ditakdirkan Kampong telah bersalin seorang anak lelaki . Melihatkan situasi itu nisbah lahirnya dalam perlayaran. Temenggong telah memberikan nama anaknya itu Simalayar.

Di kampung halamannya di Sumatra pasangan ini mendapat lagi beberapa orang anak. Seorang daripadanya juga lelaki diberi nama Kanchil. Anak-anaknya telah dibesarkan dan telah diberi didikan dunia akhirat dengan sempurna sesuai dengan keperluan anak muda di Minangkabau pada masa itu.

Kerana desakan isterinya yang tersangat rindu hendak balik ke Semenanjung dan bila mati ingin bersemadi di Danau Rasau, keluarga ini telah mengambil keputusan untuk kembali ke semenanjung kira-kira pada pertengahan tahun 1870-an dengan membawa 2 orang anaknya Simalayar dan Kancil yang pada masa itu telah cukup remaja.

Sebagai anak kampung yang kembali dari perantauan, tambah pula mempunyai ilmu didada, kedua-dua pemuda ini mempunyai  ilmu agama yang tinggi dan pandai ilmu bersilat. Kembalinya mereka sangat dialu-alukan sebagai asset yang berharga.

Melihatkan agama telah berkembang baik pada masa itu. Manakala tidak ada sebuah masjid untuk beribadat. Simalaya dan Kancil mengajak penduduk mendirikan sebuah masjid. Cadangan itu mendapat perhatian dari orang tua-tua kampong seperti Tuan Haji Bakar dan lain-lain.

Selepas bekerja bersungguh-sungguh, terdirilah sebuah masjid kayu berbentuk seperti yang dicadangkan menyerupai Masjid Luhak Agam di Minangkabau. Masjid itu didirikan di tepi Batang (Sungai) Jempol yang pada masa itu dikenali sebagai Lubuk Dalam tidak jauh ke hilir dari pertemuan antara Sungai Jempol dengan Sungai Jala-Jala, lebih kurang 700 meter ke utara Masjid Tengkek yang ada sekarang. Selepas masjid siap dibina, Kancil bin Temenggong dilantik menjadi imam yang pertama di Masjid Tengkek.

Simalayar bin Temenggong dilantik menjadi Dato’ Batin menggantikan abangnya Batin Tengah bin Pawang pada tahun 1890, merupakan seorang Dato’ Batin berpendidikan agama yang tinggi walaupun Dato’ Batin jempol sebelum itu telah beragama islam sejak dari Dato’ Batin Rendang.

Dato’ Batin Layar (Simalayar bin Temenggong) telah berkahwin dengan seorang perawan dari suku Biduanda Kelawang bernama Surai. Manakala Kancil bin Temenggong telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Tedad dari suku Seri Lemak. Kemudian berkahwin pula dengan anak saudara Tedad, seorang janda muda bernama Bayau binti Rambut dari suku yang sama.





22.3  HARTA HARTA PESAKA DATO’ BATIN JEMPOL


Pada hakikatnya Batin di Jempol dan warisnya secara adat resam sejak dahulu kala seperti juga Dato’-Dato’ Batin di tempat lain memang ada memiliki harta pesaka berupa dusun buah-buahan. Catatan di dalam surat Dato’ Batin ke-7, Ibrahim bin Amin yang disembahkan kepada DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 28hb Ogos 1956 (lihat 25.3), selain dari menyebutkan jurai keturunan warisnya, cara hidup dan lain-lain, beliau ada menyebut harta pesaka miliknya seperti berikut : -

"mempunyai lima anak sungai yang menjadi dusun-dusun (i) Dusun Sungai Sialang, (ii) Dusun Sungai Ka, (iii) Dusun Sungai Ponja, (iv) Dusun Sungai Jala-Jala dan (v) Dusun Lumut. Ada lagi sepuluh dusun-dusun kecil (i) Dusun Nenas, (ii) Dusun Jenang, (iii) Dusun Seberuang, (iv) Dusun Semeriat, (v) Dusun Sungai Ceregun, (vi) Dusun Tutur, (viii) Dusun Mentok, (viii) Dusun Ulu Sungai Talan, (viiii) Dusun Lulus dan (x) Dusun Beting…"

Bagaimanapun, daripada dusun-dusun yang tersebut di atas itu hanya dusun-dusun (i) hingga (v) sahaja yang ada surat keterangan (surat kuasa) bertulis tangan dari DO Kuala Pilah yang memperakui bahawa dusun-dusun itu milik Dato’ Batin Jempol dan anak buahnya seperti yang termaktub di dalam surat-surat yang bertarikh 1hb Januari 1926 (lihat 25.8.2), surat yang bertarikh 16hb Jun 1928 (lihat 25.8.3) dalam siri DFOKP nombor 115/46 dan surat yang bertarikh 7hb Februari 1933. Juga ada surat DFO Kuala Pilah yang membenarkan Dato’ Batin Layar memajakkan salah satu dari dusun-dusun itu (Dusun Lumut) kepada sesiapa yang disukainya seperti surat yang bertarikh 28hb Disember 1932 (lihat 25.8.4).


Lokasi Dusun Lumut berada di dalam kawasan tanah kerajaan negeri (state land). Dua dusun iaitu Dusun Sungai Ponja dan Dusun Jala-Jala telah termasuk dalam kawasan tanah rezab penempatan orang asli di Kampung Guntur sekarang. Manakala dua dusun lagi iaitu Dusun Sungai Sialang dan Dusun Sungai Ka begitu juga sepuluh (10) dusun-dusun kecil yang lain itu berada di dalam kawasan Hutan Simpan. Tidak ada sebarang keterangan yang bertulis dari mana-mana pihak yang mengesahkan sepuluh dusun kecil itu dimiliki oleh Dato’ Batin Jempol dan anak buahnya walaupun sebenarnya dusun-dusun itu adalah pesaka tanaman dari nenek moyangnya dahulu, dan ada juga di antara dusun itu yang dikeluarkan lesen pajak oleh Pegawai Hutan Daerah seperti Dusun Nenas.


Setakat ini (2009), Dato’ Batin Jempol dari waris Biduanda Salasilah tidak ada menerima sebarang imbuhan, elaun atau seumpamanya dari pihak kerajaan seperti yang dinikmati oleh Dato’-Dato’ Batin lain yang sejawatan dengannya.


Namun bermula dari  tarikh 1hb Januari 2010 dengan sokongan  penuh oleh YM Dato’ Penghulu Luak Jempol yang ke-10 Dato’ Mohd Hashim bin Abdullah, Dato’ Batin (Beradat) Jempol  telah dilulus kurniakan oleh kerajaan negeri untuk menerima elaun pemakanan sebanyak RM200.00 sebulan, sama dengan jumlah yang diterima oleh semua Dato’-Dato’ Lembaga di Luak Jempol.





22.4  DATO’ BATIN DALAM MASYARAKAT BERADAT LUAK JEMPOL


Kedudukan Dato’ Batin Jempol kepada masyarakat yang hidup beradat, luak berpenghulu dan alam beraja di Luak Jempol sangatlah jelas misalnya,



22.4.1  Semasa perebutan sempadan oleh Abdullah Kancil dari Pahang pada kurun ke-19, Batin Rendang telah diminta oleh British Resident, Martin Lister untuk menunjukkan sempadan yang sebenar antara Jempol dan Pahang. Dato’ Batin Rendang diwakili oleh Dato’ Sialang Puteh Jauu telah menunjukkan sempadan yang diiktiraf  sehingga sekarang.
22.4.2  Pengakuan bersurat oleh penasihat British Hunges kepada Batin Layar bertarikh 1hb November 1935 (lihat 25.8.5) merupakan salah satu surat yang menunjukkan bahawa Dato’ Batin Jempol sebenarnya ada hak ke atas dusun-dusun Ponja, Sialang dan Sungai Ka. Cuma dusun-dusun itu tidak boleh diukur dan dikeluarkan dari hutan simpan Pelangai.
22.4.3  Semasa Undang Luak Jelebu menuntut pengekalan haknya ke atas Ulu Jempol, Dato’ Batin Rendang tidak menyebelahi Undang Jelebu dengan itu kemungkinan memudahkan Penghulu Luak Jempol menguasai Ulu Jempol.
22.4.4  Setiap kali perlantikan Dato’ Penghulu Luak Jempol yang baru, sebelum mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Besar dan sebelum disembah oleh Lembaga yang 12, ‘tunjukkan’ dari Dato’ Batin Jempol adalah diperlukan kerana adat menentukan hak Dato’ Batin ‘menunjuk’ kepada bakal Penghulu Luak untuk menyempurnakan perlantikannya mengikut kehendak adat yang teruca terpakai sejak sekian lama.
22.4.5  Perlantikan Dato’ Batin Jempol seperti perbilangan adat;-               
"Patah Tumbuh hilang berganti
Jejak pesaka atas Soko
Jejak Soko atas Harta
Di mana benih disemai
Di situ pokok kan tumbuh
Dicabut mencengkam bumi
Kecut layu menolak bayang
Diperakui dek Dato’ Penghulu Luak,
Disahkan dek DYMM Yang Di Pertuan Besar"
22.4.6  Kerana itu Dato’ Batin (Beradat) Luak Jempol tidak pernah ditinggalkan jika ada sebarang apa juga kerja beradat yang dibuat di Balai Penghulu Luak sesuai dengan ungkapan ‘bertali ke darat berjenjang ke baruh’.
22.4.7  Dalam sejarah, hubungan antara Dato’ Batin dengan Dato’ Penghulu Luak sejak dari dahulu sangat akrab. Sehinggakan pesaka yang bergelar Dato’ Siamar Menteri yang dijadikan buapak dalam Biduanda Salasilah sekarang adalah kurniaan dari Dato’ Penghulu Luak Jempol.
22.4.8  Keakraban antara Dato’ Penghulu Luak dengan Dato’ Batin Jempol itu bukan secara kebetulan tetapi kerana waris yang menyandang ke dua-dua pesaka itu adalah dari satu keturunan yang berasal dari Biduanda Salasilah keturunan Batin (Puteri) Kunun cicit Dato’ Batin Mahagalang di Pasir Besar.
22.4.9  Pentadbiran Dato’ Batin Jempol sejak dari mula adalah lebih kepada cara peraturan orang asli sehinggalah Dato’ Batin Rendang memeluk Islam, barulah pentadbirannya telah di’perpatih’kan sesuai dengan keadaan masyarakat setempat yang mana sejak itu Dato’ Batin diiktiraf Dato’ Batin (Beradat) yang beragama Islam hinggalah sekarang.
22.4.10  Dato’ Batin Jempol dan Dato’ Sialang Puteh walaupun berjambar tunggal, tetapi berada di dalam lingkungan Lembaga Biduanda Waris. Dalam pentadbiran negeri Dato’ Batin tidak ada  tanggungjawab seperti Dato’ Penghulu Luak dan Dato’-Dato’ Lembaga, kerana tidak ada peruntukkan yang diberikan untuk itu. Namun sebenarnya dalam luak beradat di Jempol Dato’ Batin khususnya di Balai Penghulu Luak  ada tugasnya yang tertentu.
22.4.11  Kedudukan Dato’ Batin di sisi Dato’ Penghulu Luak boleh difaham seperti apa yang terungkap di dalam perpatah adat:-
 Sesilah di Hulu melahirkan Batin
Sesilah di Hilir melahirkan Penghulu
Adatnya datar pesakanya satu
Kalau duduk sama rendah
Kalau berdiri sama tinggi
Kalau berjalan sama seiring

Begitulah rangkaian pepatah adat orang tua-tua dahulu yang menunjuk bagaimana duduknya hubungan antara sesilah di hulu dengan sesilah di hilir.


Isi kandungan rangkap ke-6 di atas itu bukan kata-kata pemanis sebutan sahaja tetapi telah ditunjukkan oleh Dato’ Penghulu Luak Jempol Allahyarham Dato’ Sulaiman bin Abdullah semasa mengadap menyembah perkenan Dato’ Batin Zainuddin kepada Yang Di Pertuan Besar pada 3hb Januari 1980. Beliau tidak membenarkan Dato’ Batin berjalan di belakang semasa dalam istana, tetapi menarik Dato’ Batin supaya berjalan bersama seiring di sebelah beliau sehingga sampai kehadapan Baginda Yang Dipertuan Besar.


No comments:

Post a Comment