Saturday, 13 October 2012

16. Biduanda Pasak/Salasilah sebahagian daripada Suku Biduanda Waris

Kebanyakan orang memahami, tetapi ada sebahagian orang yang tidak tahu bahawa waris Biduanda Pasak yang selama ini menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak Jempol dan Biduanda Salasilah yang menyandang pesaka Dato’ Batin Jempol itu adalah sebahagian dari keluarga besar suku Biduanda Waris. Cuma kelebihan waris ini, mata rantai keturunanya dapat dikesan salasilahnya dengan jelas sampai kepada Dato’ Batin Mahagalang dan isterinta Puteri Mayang Selida. Bahkan pemahaman yang mengatakan suku Biduanda Pasak perut Tarum dan Mayam itu terasing dari Biduanda Waris adalah tidak tepat. Berhubung dengan itu didapati, sentiasa sahaja timbul masalah terutama dalam masalah penyandangan pesaka. Sesungguhnya waris ini (Biduanda Pasak/Salasilah)  adalah Biduanda Asal yang memang mempunyai keutamaan untuk menyandang pesaka  Dato’ Penghulu Luak. Patam, ibu Daim yang dijemput dari Pasir Besar itu adalah cicit kepada (Batin) Puteri Kunun dengan suaminya Dato’ Liman Penghulu Sekudai. Puteri Kunun ialah anak Nenek Korbau yang bersuku Biduanda keturunan Dato’ Batin Mahagalang. Patam juga  adalah pangkat cucu oleh Pak Sudum Durai peneroka Danau Rasau di Ulu Jempol itu.

Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad dalam risalahnya ‘Sejarah Asal Usul Jempol Luak dan Suku’ menuliskan;-
"Terdapat tujuh (7) suku Biduanda di dalam Luak Jempol. Enam (6) suku berasaskan tempatan tinggal di Kuala Jempol dan satu (1) lagi berasaskan Minangkabau tinggal di Ulu Jempol (tanpa menyebut nama suku yang dimaksudkan). Dari segi pembahagian kuasa pesaka, Penghulu diberikan kepada suku yang berasaskan tempatan manakala Lembaganya diberikan kepada suku yang berasaskan Minangkabau..."

Dan beliau menulis lagi di bawah tajuk Biduanda Pasak:-
"Waris Biduanda Pasak adalah keturunan Patam perut Bendahara Sekudai. Selepas itu dikenali sebagai keturunan Tarum dan Mayang, perut yang berhak bergilir-gilir menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak…"

Tulisan ini menunjukkan pada pandangan beliau, bahkan itulah pendapat seluruh Biduanda Pasak hanya Biduanda yang berasal dari perut Tarum dan Mayang itu sahaja yang diiktiraf sebagai Biduanda Asal Tempatan yang berhak menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak kerana mereka Biduanda asal manakala yang lain-lain (dianggap) tidak berhak. Contohnya disebutkan satu peristiwa:-
"Satu perebutan kuasa di hilir dimana empat suku telah bersepakat menuntut pesaka Penghulu Luak ke-9 (oleh Perut Kaya Menteri) dan pesaka Dato’ Paduka Tuan ke-7 (oleh Perut Gompo) gagal dan tidak berjaya."

Yang sangat menghairankan di sini ialah, bukan sahaja dikatakan pesaka Dato’ Penghulu Luak yang selama ini kebetulan disandang oleh Biduanda Pasak itu sahaja yang tidak pernah melimpah keluar dari perut itu, bahkan pesaka Dato’ Paduka Tuan yang diperlarikan dari Biduanda Sempuolang di Ulu Jempol itu pun tidak boleh disandang oleh perut-perut lain walaupun oleh perut Sempuolang yang mula-mula menyandang pesaka itu. Sebenarnya ada beberapa perkara yang patut diperjelaskan di sini.
i.  Bahawa tidak semua ke enam-enam suku Biduanda Waris yang berada di Kuala Jempol itu ‘Biduanda Asal Tempatan’ kerana Biduanda Jegarang, Biduanda Duka Menteri dan Biduanda Maharaja Lela itu bukan Biduanda yang berasal dari Pasir Besar. Kerana itu mereka tidak dianggap Biduanda Asal Tempatan (dari segi keutamaan) tetapi termasuk kategori Biduanda Dagang atau waris mendatang. 
ii.  Kalau setiap suku-suku Biduanda di Kuala Jempol itu dianggap sebagai suku-suku Biduanda yang berasingan, maka di Ulu Jempol terdapat lima lagi suku Biduanda yang tidak dikenali oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad iaitu:- 
1. Biduanda Salasilah/Sesilah/Perut Sialang Puteh
2. Biduanda Rembau/Perut Chinchang
3. Biduanda Jawa/Perut Jawa
4. Biduanda Kelawang/Perut Menteri
5. Biduanda Sempuolang/Perut Paduka Tuan
iii.   Dato’ Daim dan ibunya seorang janda bernama Patam berasal dari Pasir Besar. Kalau kerana beliau berasal dari Pasir Besar itulah keturunannya perut Tarum dan Mayam itu dianggap asal tempatan, maka sewajarnya kita mestilah mengakui semua perut yang berketurunan Bendahara Sekudai iaitu perut Pasak, perut Kaya Menteri, perut Gompo yang menetap di Kuala Jempol dan perut Biduanda Salasilah yang menetap di Ulu Jempol itu juga sebagai Biduanda Asal Tempatan kerana mereka semuanya berasal dari keturunan Pasir Besar (Bukit Salai) yang berasal dari Bendahara Sekudai dengan isterinya Puteri Kunun anak Nenek Korbau. Oleh itu mereka mestinya sama taraf dari segi adat dan sama-sama berhak boleh dicalonkan untuk menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak Jempol.
iv.   Dato' Penghulu Luak itu adalah pesaka yang dilantik dari kalangan waris Biduanda  Asal (Biduanda Salasilah) waris Soko Dato’ Batin Mahagalang oleh Dato'-Dato' Lembaga suku yang dua belas di Jempol. Dipilih dari Suku Biduanda itu sebagai 'Keutamaan' sebab Suku Biduanda Asal adalah pemilik negeri . YM Dato’ Penghulu Luak yang pertama Dato’ Daim dijemput dan dilantik di Jempol. Beliau tidak membawa pesaka Dato’ Penghulu itu dari Pasir Besar. Dengan itu tidak wajar Biduanda Pasak mendakwa bahawa pesaka Dato’ Pengulu itu hak warisnya secara mutlak tanpa mengambil kira Biduanda Salasilah kerana waris ini juga adalah Biduanda Asal. Waris Biduanda Asal Tempatan memang patut mendapat keutamaan untuk menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak bahkan Waris Biduanda Dagang pun boleh juga dicalonkan kalau sudah tidak dapat lagi calon yang sesuai dalam perut Biduanda asal syaratnya hendaklah mendapat persetujuan Dato'-Dato’ Lembaga suku yang dua belas. Sejarah menceritakan bahawa negeri ini dipunyai oleh orang asli Waris Biduanda. Kerana itu selayaknya mereka mendapat keutamaan untuk dijadikan ketua.
v.   Tidak dapat dinafikan bahawa di Jempol, seperti juga di Luak-Luak yang lain, Suku Biduanda diketegorikan kepada dua (2) kumpulan. Sama ada tempatan atau mendatang (lihat para 7, Waris Biduanda/Biduanda Waris di Jempol).
vi.   Dalam sejarah awal persukuan adat di Jempol, hingga suku pertama kurun ke-20 dalam Suku Biduanda Waris tidak mengenali nama Suku Biduanda Pasak. Sehinggalah dalam pentadbiran Dato’ Penghulu Luak yang ke-8 iaitu Dato’ Abd Wahab bin Haji Ibrahim (1926 hingga 1963) memperkenalkan warisnya sebagai Biduanda Pasak dengan alasan-alasannya tersendiri dan beliaulah juga yang menafikan hak waris Biduanda asal yang selain Pasak untuk menyandang pesaka Dato’ Penghulu Luak. Dalam terombo Dato’ Batin Jempol Biduanda Pasak itu sejak dahulu kala dikenali dengan nama Biduanda Salasilah Perut Patam.
vii.   Memang tidak ada hak siapa-siapa juga orang lain yang boleh untuk mempersoalkan kewajaran meletakan sebarang nama seperti itu untuk menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan kumpulan masing-masing. Tetapi dalam soal suku ini (Biduanda) pada hakikatnya semua Waris Biduanda Asal yang datang dari Pasir Besar (sama ada yang datang dijemput atau yang datang sendiri) itu adalah suku Biduanda yang berasal dari keturunan Dato’ Batin Mahagalang dengan isterinya Puteri Mayang Selida anak To’ Batin Bercanggai Besi dari Sungai Ujung itu yang dikenali dengan nama Biduanda Salasilah/Sesilah. Salasilah di sini bermaksud rantai keturunan waris itu sampai kepada Dato’ Batin Mahagalang. (lihat para 4, Dato’ Batin Mahagalang Baka Suku Biduanda)     
viii.   Pada tahun 1999, penulis pernah diberitahu oleh Puan Hjh. Sian bt Hj Abd Wahid, Soko Tua Biduanda Salasilah, katanya semasa beliau hadir dihari kerjan YM Dato’ Penghulu Luak ke-10, waktu beliau melafazkan sumpah, YM Dato’ berkata...
"Bahawa saya Hj Mohd Hashim bin Abdullah bersuku Biduanda Salasilah…"

1 comment:

  1. Boleh jelaskan cara, pantang larang dan dan apa yang penting dlm keturunan ini ?

    ReplyDelete