Saturday, 13 October 2012
15. Kedatangan Suku Biduanda (Pasak) ke Jempol
Waris Biduanda Pasak datang ke Jempol bermula dari penjemputan seorang anak Biduanda di Pasir Besar, waris terdekat Dato' Undang Luak Johol bernama Daim bersama ibunya bernama Patam. Sesungguhnya Daim dan ibunya Patam inilah sahaja baki terakhir waris Biduanda Asal (Salasilah) yang masih berada di Pasir Besar (Bukit Salai) pada masa itu. Dengan persetujuan Dato’ Rambutan Jantan Undang Luak Johol, Daim dibawa ke Jempol untuk dijadikan Penghulu. Wakil-wakil yang menjemput ke Pasir Besar itu seramai tiga orang iaitu To’ Pangeran, To’ Meliga dan To’ Poyang. Apabila sampai di Jempol, semua ketua-ketua kumpulan telah bersetuju menerimanya untuk dijadikan Penghulu kerana ternyata beliau adalah memenuhi syarat; lelaki berdarah gahara dari Waris Soko Suku Biduanda iaitu syarat yang diutamakan mereka untuk mencari bakal Penghulu. Tetapi Daim masih kanak-kanak. Dalam pada itu To’ Pengeran telah mengahwini Patam ibu Daim yang kebetulan seorang janda. Dengan kedudukan itu To’ Pengeran telah dipersetujui untuk memangku Penghulu buat sementara sehingga Daim dewasa. Apabila Daim dilantik menjadi Penghulu Luak, beliau memakai gelaran Dato’ Lela Putera Sitiawan yang hampir-hampir sama dengan gelaran Dato’ Undang Luak Johol. Bagi mengenang budi, beliau telah mengurniakan gelaran Dato’ Lela Raja kepada bapa tirinya To’ Pengeran, Dato’ Siamar Menteri kepada To’ Meliga dan Dato’ Maharaja Setia kepada To’ Poyang dan melantik mereka menjadi Dato’ Lembaga dengan tugas-tugas tertentu berhubung dengan perlantikan Dato’ Penghulu Luak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment