Saturday, 13 October 2012

14. Kedatangan Suku Biduanda (Salasilah) ke Jempol

Waris Biduanda Salasilah datang meneroka ke Jempol dari Bukit Salai di Pasir Besar kira-kira pada awal kurun ke-16 di bawah pimpinan seorang ketua bernama Pak Sudum Durai dan saudara lelakinya bernama Pak Belukang  dan  seorang saudara perempuannya bernama Relong. Dengan membawa keluarganya masing-masing (lihat para 9). Mereka memudiki sepanjang Sungai Jempol dari kuala di Penarikan hingga ke hulu dengan perahu sehingga sampai ke satu jeram tinggi yang perahunya tidak boleh ke hulu lagi. Jeram itu sekarang dikenali dengan nama Jeram Tengkek. Danau Rasau penempatan asal yang diteroka oleh pendatang asal ini sekarang telah dijadikan penempatan tetap orang asli (bukan Waris Salasilah) yang ditadbir urus oleh JHEOA.

Dalam terombo Dato’ Batin Jempol tempat itu bernama 'Tanah Bebas Lopan Jala Jala' yang dahulunya sebelum diambil alih oleh JHEOA adalah sebahagian daripada tanah harta pesaka kepunyaan Dato’ Batin Jempol. Tetapi oleh kerana kerajaan hendak menempatkan orang asli di situ, tanah berkenaan telah diambil secara relapaksa dari penguasaan Dato’ Batin Jempol dan perkampungan yang dibuat atas tanah itu pula langsung tidak mengambil kira hak peneroka asalnya Waris Dato’ Batin Jempol. Seluruh orang asli yang mendiami kawasan itu sekarang, sebenarnya bukanlah berasal dari keturunan Dato’ Batin Pak Sudum Durai peneroka asal yang datang dari Bukit Salai Pasir Besar. Walaupun adalah satu Perut, anak dari isteri Dato’ Batin Rendang yang bernama Sauk ada dalam kumpulan itu tetapi mereka tidak bersuku Salasilah.


No comments:

Post a Comment