25. Surat Menyurat
25.1 Surat Dato' Batin kepada DYMM (bertashih)
Surat yang dikembarkan ini adalah surat Dato’ Batin Ibrahim bin Amin kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 28hb Ogos,1956 disalin dan di‘tashih’ oleh To’ Siamar Menteri Hj Ujang bin Yusop.
Ya Qadzia’ alhajat
Sembah ampun Tuanku beribu-ribu ampun tersembah ke bawah Duli Lebu Telapakan Seri Paduka Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang bersemayam di atas Takhta Singgahsana Kerajaan di Seri Menanti Kuala Pilah, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Sembah ampun Tuanku, adalah patik pacal yang hina Batin Ibrahim bin Amin di kampung Guntor Ulu Jempol merafa’kan sembah ke bawah Duli Lebu Telapakan Seri Paduka Yang Maha Mulia Tuanku.
Ampun Tuanku adalah patik pacal yang tersebut ini berpusakakan Batin (menetap) di kampung Guntor Ulu Jempol bagi hak Waris Salasilah yang asal berasal turun temurun dari Bukit Salai ke Pasir Besar dari Pasir Besar ke Ulu Jempol (meneroka dan menetap di kampung Guntor). Nenek moyang patik (yang datang ke Guntor) itu bernama Pak Sudum Durai dengan (saudara perempuannya bernama Relong dan beberapa orang) anak-anak saudaranya. Apabila dia sampai ke Ulu Jempol (yang masa itu) belum bernama Jempol. Dia meneroka membuat negeri dan bercucuk tanam. Semasa itu belum lagi ada orang (membuat penempatan di situ dan tempat itu dikenali dengan) nama Danau Rasau. Moyang patik (Pak Sudum Durai) inilah yang mula-mula meneroka di Ulu Jempol (dan dilantik menjadi Batin). Kemudian dari itu selepas moyang patik Batin Pak Sudum Durai mati digantikan oleh anak saudaranya nenek patik Batin Sepeh apabila Batin Sepeh mati diganti oleh anak saudaranya moyang patik Batin Rendang. Selepas Batin Rendang mati diganti pula oleh anak saudaranya Datok Aki patik Batin Tengah bin Pawang selepas Batin Tengah mati diganti pula oleh adiknya Datok Aki patik Batin Layar bin Temenggong, selepas Batin Layar mati diganti pula oleh anak saudaranya bapa saudara patik Batin Sudin bin Siadek. Selepas Batin Sudin mati maka patik Batin Ibrahim bin Amin jadi gantinya, dengan kebulatan Soko dan Pusako Waris Salasilah bersama (persetujuan) Dato’ Sialang Puteh serta dengan timbangan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Yang Dipertuan Besar pada 14hb 4 1956 (selepas) berunding dengan Dato’ Penghulu Luak Jempol yang (bersetuju) patik sebagai Batin Jempol telah dipersetujui oleh Duli Yang Maha Mulia.
Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun. Adalah patik yang berpusakakan Batin itu ialah pusaka Batin (Waris) Salasilah yang turun temurun dari Batin Mahagalang. Semasa moyang patik Batin Rendang telah (berlaku satu) pertelingkahan diantara waris Pahang (ber) nama Abdullah Kanchil dengan waris Negeri Sembilan iaitu (apabila) Abdullah Kanchil mengaku sempadan Pahang dengan Negeri Sembilan, di Jelebu (sempadannya) Bukit Peregai, di Jempol Batu Ampat (dan) di Muar Jeram Padang. Perkara itu (ditangani) oleh Yang Mulia Dato’ Undang Di Muar Dato’ Perdana dengan Dato’ Perba, di Johol Dato’ Menteri Rangkom dengan Dato’ Ginda Tan Emas. (Semua) Dato’-Dato’ itu tidak dapat menerangkan di mana sempadan yang sebenar. (Oleh) itu maka Yang Mulia Dato’ Undang Johol meminta keterangan (dari) pada Waris Salasilah (di) Ulu Jempol. Moyang patik Batin Rendang dihantarkannya Datok Aki patik Dato’ Sialang Puteh Jauu pergi kepada Dato’ Johol. Perbicaraan itu dibuka oleh Yang Amat Berhormat Tuan Residin Martin Lester (bertempat) di Sungai Looy. Dalam perbicaraan itu Datok Aki patik Dato’ Sialang Puteh Jauu telah memberitahu (sempadan yang sebenar) mengikut cincang latihan Batin Mahagalang iaitu di Ulu Perak dengan Pahang (di) Jawi bertaup dari situ ke Parit Siam, daripada Parit Siam ke Lubok Serampang daripada Lubok Serampang ke Batu menonggol dari Batu menonggol ke Meranti Sembilan dari Meranti Sembilan ke Bangkong Condong dari Bangkong Condong ke Gunung Ledang. Inilah sempadannya. Mana-mana yang dapat (disampai oleh air) pasang dipunyai oleh Batin Anggon Menteri mana-mana (tempat) yang tidak dapat oleh (air) pasang dipunyai oleh Batin Mahagalang. Maka (keterangan yang dibeikan oleh Dato’ Sialang Puteh Jauu) dalam perbicaraan itu disampaikan oleh Tuan Residin Martin Lester kepada Tuan Gavernor (Inggeris di) Singapura. Tuan Gavernor (di) Singapura (telah menerima) sempadan-sempadan yang dibagi tahu oleh Dato’ Sialang Puteh Jauu dan sempadan itulah yang dipakai.
Ampun Tuanku adalah harta pesakanya Batin Waris Salasilah (di) Guntor Ulu Jempol itu. Dahulunya ialah seluruh Ulu Jempol dari Luar hingga ke dalam hutan iaitu anak sungai, gaung guntong bukit bukau hutan tanah, semuanya itu harta Batin Waris Salasilah (di) Guntor Ulu Jempol. Tetapi sekarang semenjak dari Datok Aki patik Batin Tengah menjadi Batin, harta pusakanya yang ada tinggal lagi (cuma) 5 anak sungai (yang menempatkan) Dusun Durian dan buah-buahan (lain) iaitu:-
1. Dusun Sungai Lumut
2. Dusun Sungai Sialang
3. Dusun Sungai Car (Dikar)
4. Dusun Sungai Penja
5. Dusun Sungai Jala-Jala
Dan (ada) tanah bebas di depan Sungai Jala-Jala seluas lebih kurang 50 ekar. Oleh sebab separuh (sepulu buah dari) dusun-dusun itu telah dibagi-bagikan oleh moyang patik Batin Rendang kepada orang-orang bukit yang datang dari Jelebu yang diketuai oleh Batin Itai (selepas) mati Batin Itai diganti oleh Batin Keset (selepas) mati Batin Keset diganti oleh Batin Kundor yang sekarang ini ada duduk di Langkap di bawah jagaan Tuan Janggut penjaga orang bukit. Dusun-dusun (yang terlibat) itu:-
1. Dusun Nenas
2. Dusun Jenang
3. Dusun Seberuang
4. Dusun Semeriat
5. Dusun Sungai Ceregun
6. Dusun Tutur
7. Dusun Mentok
8. Dusun Ulu Sungai Talan
9. Dusun Lulus
10. Dusun Beting
(Tetapi Dusun-Dusun yang tersebut itu) tiadalah orang bukit (anak buah patik) itu (tinggal di situ) lagi dari sejak perintah Jepun dahulu sampai sekarang (semuanya) tertinggal begitu saja.
Ampun Tuanku, semasa moyang patik Batin Rendang itu jugalah datangnya Waris Biduanda (diketuai oleh) Dato’ Paduka Tuan Pandai dengan anak-anak buahnya menepat kepada Dato’ Sialang Puteh Rompang. Moyang patik Batin Rendang telah memberikan kepada Dato’ Paduka Tuan Pandai (dan anak buahnya) tanah tempat duduk iaitu di Sungai Sempuolang Kampung Tampin. Sampai sekarang keturunan itu masih ada lagi tinggal di situ. (Dan) semasa Dato’ Paduka Tuan Pandai inilah moyang Patek Batin Rendang dengan anak-anak buahnya Waris Salasilah dengan suka hatinya memeluk agama Islam anak beranak laki isteri masing-masing dengan pertolongan Dato’ Paduka Tuan Pandai. Maka sejak daripada (peristiwa) itu sampai sekarang tiadalah lagi seorang (jua) pun (yang) tidak beragama Islam bagi Waris Salasilah. (Namun selepas Batin Rendang mati, anak-anaknya dari keturunan isterinya bernama Saok (di zaman) Datok Aki patik Batin Tengah bin Pawang (mereka) beransur-ansurlah pula dia mengikut faham orang bukit hinggalah sampai sekarang. Kini (perut) itu tidaklah ada lagi yang mengikut cara agama Islam hanya berkhatan sahaja dia suka. Tetapi mana-mana (yang ber) keturunan isteri Batin Sepeh (Waris Salasilah) semuanya masih (kekal) memeluk agama Islam sampai sekarang.
Ampun tuanku sembah patik (harap diampun). Maka adalah isteri moyang patik Batin Rendang (yang) bernama Saok itu asalnya orang Bukit Linggi dia duduk di Senibai, dinikahi oleh moyang patik Batin Rendang dan dibawa duduk di Guntor Ulu Jempol di atas tanah pusaka Batin Waris Salasilah. (Selepas kembali semula lepas perang Jepun) sampai sekarang keturunan itu masih ada duduk di Guntor di atas tanah pusaka Batin Waris Salasilah itu. Nama-nama mereka itu (seperti berikut): yang lelakinya (ber)nama Johan (bapanya) bernama Ahu (seorang Cina) dan emaknya bernama Tiah anak Ensoh anak (kepada) Saok dan yang perempuan (kakak saudara Johan) bernama Kombang binti Kompot emaknya (bernama) Pulih anak Enson anak Saok. Johan anak Cina Ahu itu dia nikah dengan orang bukit di Simpang Empat Tampin Negeri Sembilan bernama Suloh binti Dagang di bawanya juga duduk di atas tanak pusaka Batin Waris Salasilah. Dia dapat anak (yang tua) lelaki nama Gunyeh bin Johan (2) Kulit binti Johan (3) Kiding binti Johan (4) Longkap binti Johan (5) Encom binti Johan (6) Derhaman bin Johan. Dan anak Johan ini ada yang sudah berlaki iaitu Kiding binti Johan lakinya Lahe bin Inteng, Kulit binti Johan (lakinya) Nyak bin Inting (Lahe dan Nyak) adik beradik orang bukit (berasal) dari Kelebang Johol. Dan Kombang binti Kompot pun ada juga anak-anaknya, (yang tua) nama Senah binti Ontok (2) Ujang bin Ontok (3) Ontap binti Ontok (4) Judi bin Ontok. Dan Senah binti Ontok anak Kombang itu sudah berlaki pula dengan orang bukit dari Langkap bernama Panglima Alang bin Lela. Dan ada juga orang-orang bukit yang baru datang dari Senibai dan ada yang dari Kelebang dan ada yang dari Langkap (yang) sekarang ini menduduki di atas tanah pusaka Batin Waris Salasilah di Guntor Ulu Jempol itu.
Ampun Tuanku adalah semua mereka yang patik sembahkan itu ialah orang bukit yang duduk sebagai menumpang sahaja di atas tanah-tanah pusaka Batin Waris Salasilah Guntor Ulu Jempol. Mereka-mereka itu tidaklah dia berhak kepada tanah pesaka dan dusun-dusun pusaka patik Waris Salasilah Ulu Jempol itu dan juga dia itu tidaklah juga berhak hendak menggilirkan gelaran pesaka Batin (kami) Waris Salasilah (di) Guntor Ulu Jempol itu.
Ampun Tuanku adalah pusaka Batin Waris Salasilah (di) Guntor Ulu Jempol itu serta dengan (tanah) bebas di Lopan Jala-Jala dan 5 anak sungai (penempatan) dusun-dusun (pesaka) iaitu Dusun Sungai Lumut, Dusun Sungai Sialang, Dusun Sungai Car (dikar), Dusun Sungai Ponja dan Dusun Sungai Jala-Jala (itu) ialah dengan sebenar-benarnya hak Waris Salasilah yang menjadi anak buah Dato’ Sialang Puteh sahaja. Selain dari itu tidak dia berhak kepada tanah pusaka atau dusun-dusun atau (mewarisi) pesaka Batin (di) Guntor Ulu Jempol itu.
Ampun Tuanku sembah patik (harap diampun) adalah Dusun Sungai Lumut dibuat dan ditanam oleh Datok Aki patik Sialang Puteh Jauu dengan (kakaknya) Uwan patik bernama Lumut dengan lakinya Panglima Kechik Gantong. Dusun Sungai Sialang dibuat dan ditanam oleh moyang patik Dato’ Sialang Puteh Rompang, dan Dusun Sungai Car (dikar) dibuat dan ditanam oleh nenek patik Batin Sepeh, dan Dusun Sungai Ponja dibuat dan ditanam oleh moyang patik bernama Kulop Tense (yang dipanggil orang jua dengan gelarannya Kalimuai dan Dusun Sungai Jala-Jala dibuat dan ditanam oleh moyang patik Batin Rendang bersama saudara perempuannya bernama Minah. Semasa moyang patik membuat dusun-dusun yang tersebut itu dianya meneroka dan menduduki di tempat-tempat itu bercucuk tanam (pokok buah-buahan secara tradisi disamping cara hidup orang asli yang) berpindah–randah dari satu anak sungai ke satu anak sungai, dari satu bukit ke satu bukit dan dari satu tempat ke satu tempat (yang lain pula).
Ampun Tuanku semasa moyang patik Batin Rendang (menjadi Batin beliau pernah ditawarkan) oleh Yang Teramat Mulia Tuan Residin Martin Lister hendak dijadikannya (Dato’) Penghulu di Ulu Jempol dengan berpencen tiga puluh ringgit sebulan. Tetapi moyang patik Batin Rendang itu tidak mahu menjadi Penghulu Ulu Jempol oleh kerana katanya Sungai Jempol itu airnya mengalir (dari hulu sampai) ke Kuala Jempol dan di Kuala Jempol sudah ada Dato’ Penghulu Luak Jempol, waris yang seasal seketurunan juga dengan dia. Jadi tidaklah patutnya satu Luak dua Penghulu, satu Negeri dua undang dan satu Alam dua Raja dan (tambahan) pula Negeri Sembilan ini sudah ada dengan aturannya iaitu Alam beraja, Negeri berundang, Luak berpenghulu, Suak Sungai Gaong Guntung Bukit Bukau Hutan Tanah berBatin.
Ampun Tuanku sembah patik harap diampun. Maka di atas harta pesaka patik itu, patik pohonkan ihsan ke bawah Duli Yang Maha Mulia (sudi) mengisytiharkan dalam warta kerajaan kuasa yang penuh dan bebas bagi yang berhak kepada Batin Ibrahim bin Amin Waris Salasilah Guntor Ulu Jempol serta dengan waris Salasilah yang menjadi anak buah Dato’ Sialang Puteh Ulu Jempol. Demikianlah patik pacal yang hina berdatang sembah dipohonkan ampun serta Al Rahman dan Al Rahim timbang kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku jua memakbulkan permohonan patik serta patik pohonkan ampun beribu-ibu ampun di atas kedaifan patik. Amin Ya Rabbul Alamin.
Adalah patik dengan sepenuh penuh hormatnya patik yang taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Termaktub di Ulu Jempol 28.8.56 ………………………………….
Batin Ibrahim bin Amin
Batin Jempol
- Disembahkan kepada KDYMMYBNS Tuanku Abd Rahman pada 4.9.56
- Di dalam Istana 141/49
25.2 Surat asal tanpa tashih bertarikh 28hb Ogos 1956
25.3 Surat D.O. Kuala Pilah kepada Dato' Penghulu Luak
25.4 Surat pengesahan perlantikan Dato' Batin Ibrahim Bin Amin
25.5 Wajah YM Dato' Batin Ibrahim Bin Amin
25.6 Surat perlantikan Dato' Batin Zainuddin Bin Hamzah
25.7 Potrait YM Dato' Batin Zainuddin Bin Hamzah
25.8 Salinan Surat-Surat Kuasa yang diterima Dato' Batin
1. Bertarikh 29hb Oktober 1891
2. Bertarikh 1hb Januari 1926
3. Bertarikh 16hb Jun 1928
4. Bertarikh 28hb Disember 1932
5. Bertarikh 1hb November 1935
6. Bertarikh 15hb Disember 1949
7. Bertarikh 29hb Julai 1992
No comments:
Post a Comment