Luak Jempol merupakan salah satu daripada lima luak yang meliputi 'Luak Tanah Mengandung'. Di samping Penghulu Jempol menjadi tunggak pemerintahan beradat, diwujudkan pula jawatan Tengku Muda Serting bagi luak berkenaan. Ini bermakna luak berkenaan meliputi juga Serting. Sempadan luak berkenaan diungkapkan dalam perbilangannya :-
- Batasan Muar, sepanjang Sungai Muar
- Batasan Jempol, sepanjang Sungai Jempol
- Batasan Johol, sepanjang Sungai Jelai
Ini bermakna sempadan yang dikatakan luak Jempol itu meliputi kawasan bahagian hulu sungai hingga ke kuala Sungai Jempol. Termasuklah Guntur, Tengkek, Padang Lebar, Terentang, Batu Kikir, Serting Ulu, Serting Hilir, Kuala Jempol, Bahau, Ayer Hitam, Keru, Jerjak, Sungai Jelutong, Seri Melenggang, Sungai Talan, Bukit Sempit, Palong, Bayai, Simpang Pertang, Paloh (sekarang Pasoh), Juasseh dan lain-lain lagi.
Newbold dalam bukunya yang diterbitkan tahun 1839 mencatatkan, pernah berlaku perebutan sempadan antara Penghulu Jempol dan Undang Luak Jelebu. Ketika ini Penghulu Jempol ialah Dato’ Lela Putera Setiawan, Dato’ Penghulu Hassan. Tidak pula diketahui Undang Luak Jelebu yang mana terbabit dalam krisis sempadan itu (dalam terombo Biduanda Salasilah dikatakan Jempol berebut sempadan dengan Pahang).
Ketika ini menurut Newbold, setiap Undang Luak Jelebu yang dikerjankan di Jelebu, akan dikerjankan semula di Ulu Jempol yang menjadi wilayah luak Jelebu (kerana ada satu ungkapan pada masa itu ‘Ulu Jempol serambi Jelebu’) iaitu di Kampung Bukit. Penghulu Jempol telah menuntut haknya ke atas Ulu Jempol kerana aliran sungai yang sama. Krisis sempadan ini berakhir apabila Undang Luak Jelebu dengan nasihat Dato’ Batin Rendang telah bersetuju menyerahkan Ulu Jempol kepada Penghulu Jempol, Dato’ Hassan. Bermula daripada peristiwa inilah wilayah Jempol itu menjadi satu, meliputi dari hulu hingga ke kuala sungainya. Di hulu ada satu tempat dikenali dengan nama Titian Teras yang menjadi persinggahan bagi orang-orang pada masa itu dalam perjalanan dari Jelebu ke Pahang.
Bagaimanapun, berpandukan geografi Luak Jempol bukanlah sebahagian dari wilayah Jelebu kerana sudah nyata bahawa Sungai Jempol tidak mengalir ke Jelebu. Namun 2 orang Datuk Batin sebelum Batin Rendang di Ulu Jempol (Danau Rasau), lebih menghadap ke Balai Undang Luak Jelebu dari ke Balai Undang Luak Johol. Mungkin disebabkan adanya hubungan persemendaan yang telah terjalin.
Berpandukan realiti adat dan sejarah, untuk mendapatkan seorang calon Penghulu Luak, penduduk di Kuala Jempol pula telah mengutus tiga (3) orang wakil mengadap ke Balai Undang Luak Johol tidak ke Balai Undang Luak Jelebu. Mereka-mereka itu ialah
- To’ Pengiran
- To’ Maliga
- To’ Poyang
Apabila Dato’ Johol mengirimkan calon penghulu seorang perempuan, mereka menolaknya. Tidak seperti luak Ulu Muar yang bersedia menerima anak perempuan untuk jadi penghulu. Orang-orang di Jempol lebih bersedia menerima seorang anak kecil untuk dijadikan penghulu mereka asalkan dari suku Waris Biduanda asal keturunan Undang Luak Johol.
assalammuaalikum..saya nak tanya... asal pembukaan gemas.. dan kaitan dengan tok sulong..yang dicatat namanya di depan sekolah STAR.. seandai tuan ade maklumat.. mohon petunjuk kepada saya.. kerana adayg kata org asal gemas adalah biduanda pasak.. walluhhualam.. no saya 01130755743..
ReplyDelete