Saturday, 13 October 2012

33. Persukuan Adat Di Luak Jempol

Di Luak Jempol terdapat sepuluh (10) buah suku beradat iaitu:-
33.1 Suku Biduanda (Dondo)
33.2 Suku Tiga Batu (Tigo Batu)
33.3 Suku Mungkal (Mungkal)
33.4 Suku Sri Lemak Pahang (Selomak)
33.5 Suku Anak Acheh (Anak Acheh)
33.6 Suku Batu Hampar (Tompar)
33.7 Suku Tanah Datar (Tedatar)
33.8 Suku Sri Melenggang (Semelonggang)
33.9 Suku Tiga Nenek (Tigo Nenek)
33.10 Suku Paya Kumbuh (Pekumboh)

Perkahwinan anak buah diantara suku-suku ini dinamakan semenda menyemenda seperti perbilangan adat, umpama labu menjalar ke kundur dan kundur menjalar ke labu. Misalnya, seorang anak buah suku Biduanda (lelaki) berkahwin dengan anak buah suku Batu Hampar (perempuan), maka si lelaki itu (orang semenda) akan berpindahlah duduk di rumah isterinya (ibu bapa mertua) sebagai tempat kediamannya yang baru, hiduplah dia di situ menjadi salah satu dari keluarga isterinya. Si lelaki Biduanda itu duduk di kalangan suku isterinya sebagai ‘orang semenda’ kepada suku Batu Hampar dan waris Batu Hampar (suku isterinya) menjadi ‘tempat semenda’ kepadanya. Apabila pasangan itu mendapat anak sama ada lelaki atau perempuan anak itu bersuku kepada suku ibunya (Batu Hampar) dan anak-anaknya itu kelak tidak ada apa-apa halangan untuk berkahwin pula dengan siapa-siapa juga dalam waris bapanya kecuali ada halangan syarak.


Demikianlah seseorang lelaki dalam masyarakat adat perpatih, si lelaki menjadi orang semenda kepada suku waris isterinya dan menjadi tempat semenda bagi siapa-siapa lelaki yang berkahwin dengan perempuan-perempuan dari sukunya pula.


Mengikut adat perpatih tradisi, anak-anak perempuan selepas bersuami mereka tidak meninggalkan rumah dan tanah pesaka atau rumah yang dibuatkan oleh ibu-bapanya di atas tanah pesaka keluarganya. Jika si isteri mati dahulu maka suaminya terpaksa dijemput oleh warisnya dengan meninggalkan rumah pesaka yang dimiliki oleh bekas isterinya itu kepada anak-anaknya yang perempuan atau kalau tidak ada anak yang perempuan rumah dan tanah pesaka itu menjadi milik kepada waris perempuan yang paling hampir dengan bekas isterinya itu. Anak lelakinya tidak boleh menerima pesaka adat seperti itu, cuma mereka boleh tinggal di rumah itu sehingga ia berkahwin dan pindah ke rumah isterinya untuk menjadi orang semenda kepada tempat semendanya dari suku yang lain pula pula.


No comments:

Post a Comment