Yang dinamakan Sumbang Kadim itu ialah berkahwin dengan saudara perempuan yang seketurunan sebelah ibu disebut sesuku atau seperut. Misalnya adik-beradik sepupu, dua pupu, tiga pupu sepangkal dan seterusnya. Walaupun dibenarkan mengikut hukum syarak tetapi dihalang keras oleh Adat Perpatih. Jika dilakukan juga pelakunya dikirakan bersalah dan mesti dikenakan denda yang berat.
Denda adat yang mesti dibayar ialah :-
- Sirih sepeminangan
- Duit adat kepala mayat (sebahara)
- Kerbau seekor
- Beras lima puluh gantang
- Kelapa lima puluh tali (100 biji)
- Kayu api sepasung besar
- Kain hitam sekabung
- Kain putih sekabung
Mengikut Puan Dasimah Bt. Lamin, seorang Bonda Kandung (Ibu Soko) bersuku Semabur di Kampung Piyobang, Paya Kumbuh yang Penghulunya (Lembaga) Dato’ Bangsa Dirajo di Tanah Minang, Kalau di Minangkabau senarai denda itu ditambah lagi dengan dua puluh (20) kampit simen.
Jika si pelaku kesalahan itu atau ibu-bapanya tidak mahu membayar denda adat yang ditetapkan itu, hukumannya satu perut itu dihukum kahar (berat) iaitu:-
- Perut itu tidak boleh menyandang sebarang pesaka adat.
- Akan dihalau dari rumahtangganya dan tanah pesakanya dirampas.
- Namanya dipotong dari senarai sukunya, tidak dibenarkan berkedim dengan mana-mana suku dalam Luak itu.
- Jika sakit tidak dipelihara, jika mati tidak ditanam.
Menurut keterangan daripada Allahyarham Dato’ Batin Ibrahim B. Amin, Sumbang Kadim itu adalah serupa dengan kesalahan jenayah sivil (mencuri). Apabila sabit kesalahan pelakunya hendaklah dihukum dan barang yang dicurinya hendaklah dikembalikan kepada tuannya.
Kerana itu bagi mereka yang melakukan Sumbang Kadim selain dikenakan denda seperti di atas mereka hendaklah dipisah (bercerai).
Atau kalau mereka tidak mahu bercerai, salah seorang (biasanya suami) mesti diisytiharkan keluar dari sukunya. Namun mereka yang diisytiharkan keluar suku itu boleh memohon untuk memasuki sukunya semula beberapa tahun selepas itu. Beliau boleh diterima semula ke dalam sukunya sebagai orang semenda biasa tertakluk kepada syarat-syarat tertentu (kalau ada) yang difikirkan perlu oleh warisnya.
No comments:
Post a Comment