Saturday, 13 October 2012

20. Kedatangan Suku Biduanda Dagang ke Jempol

Yang dimaksud sebagai Biduanda Dagang di sini ialah semua suku Biduanda yang datang ke Jempol bukan berasal dari Pasir Besar tetapi mereka memang bersuku Biduanda. Di Ulu Jempol suku Biduanda Paduka Tuan dan Biduanda Kelawang pada mulanya mereka datang ke situ bukan sebagai dagang kerana pada masa mereka datang, Ulu Jempol sebagai serambi Jelebu manakala kedua-dua suku ini datang dari Jelebu. Begitu juga di Kuala Jempol, Suku Biduanda Jegarang dan suku Biduanda Maharaja Lela semasa kedatangan kedua-dua suku ini Kuala Jempol pada masa itu sebagai serambi Johol manakala mereka datang dari Johol. Namun pembahagian kategori Tempatan atau Dagang itu cuma sebagai pengenalan sahaja, tidaklah mengurang sedikit jua pun hak-hak yang sepatutnya diperolehi dalam pentadbiran adat dan masyarakat.

Di Ulu Jempol, kedatangan Biduanda Dagang ini didahului oleh Biduanda Paduka Tuan yang diketuai oleh seorang yang bernama Pandai dari Jelebu diikuti oleh Biduanda Kelawang yang diketuai oleh seorang yang bernama Kiamar yang juga datang dari Jelebu. Kemudian datang pula suku Biduanda Cincang dari Rembau dan Biduanda Jawa dari Sungai Ujung. Mereka semasa datang telah beragama Islam mencari waris menepat kepada Tok Batin yang pada masa itu belum beragama selain dari kepercayaan nenek moyang. Semua suku-suku ini diberi tempat oleh Tok Batin untuk membuat kampung halaman. Peristiwa kedatangan ini berlaku dizaman Tok Batin Rendang.


Oleh kerana keempat-empat suku yang datang itu telah beragama Islam dan menjunjung adat Perpatih, mereka merasakan menerima dua tanggungjawab. Pertama mengislamkan saudara sewarisnya Tok Batin Rendang dan anak buah Biduanda Salasilah. Tugas ini dilaksanakan oleh To’ Paduka Tuan Pandai yang telah berjaya mengislamkan Tok Batin Rendang dan semua anak buahnya. Kedua ialah melantik seorang ketua adat, iaitu Dato’ Lembaga. Akhirnya satu persetujuan telah dibuat iaitu Kiamar dari Biduanda Kelawang dilantik menjadi Dato’ Lembaga. Dengan persetujuan Dato’ Undang Luak Jelebu pesaka Lembaga pertama itu bergelar Dato’ Umbi mengambil sempena gelaran Dato’ Umbi Pangkal Maharaja Lela yang terdapat di Luak Jelebu. 


Semasa perlantikan Dato’ Lembaga yang pertama itu Suku Biduanda Salasilah belum lagi terlibat. Cuma selepas dirangkumkan pentadbiran adatnya ke dalam Biduanda Waris barulah Biduanda Salasilah diiktiraf sebagai duduk sama rendah berdiri sama tinggi dan sama-sama boleh menyandang pesaka Lembaga waris itu (dilihat dari satu segi merangkumkan Biduanda Salasilah ke dalam Biduanda Waris itu merugikan Dato’ Batin). Setelah Lembaga Dato’ Umbi itu tidak lagi berfungsi di hilir, sekarang ini pesaka itu disandang secara bergilir antara lima (5) suku Biduanda di Ulu Jempol. Tetapi gelaran Lembaga itu akan berubah mengikut waris. Kalau Lembaga itu disandang oleh Biduanda Kelawang, Biduanda Jawa dan Biduanda Salasilah Lembaga itu bergelar Dato’ Umbi. Kalau disandang oleh Biduanda Paduka Tuan akan bergelar Dato’ Dio Maharaja dan kalau disandang oleh Biduanda Rembau pesaka itu akan bergelar Dato’ Bentara. Namun penyandang pesaka itu sekarang Dato’ Ramli menggunakan gelaran Dato’ Umbi.

Pada tahun 1920, Nathan dan Winsted ada menulis tentang Biduanda Waris di (Ulu) Jempol dengan catatan,

"Perut Menteri diketuai oleh Dato’ Menteri, bagi Perut Chinchang oleh Dato’ Chinchang, bagi Perut Paduka Tuan oleh Dato’ Paduka Tuan dan Perut Biduanda Salasilah orang besarnya bergelar Dato’ Sialang Puteh." 

Penulis ini nyata telah tertinggal kerana tidak menyebut tentang Perut Jawa atau mungkinkah perut itu belum wujud semasa mereka menulisnya. Lagi pun sebenarnya perut-perut yang disebutkan itu lebih mengenali sesama perutnya dengan gelaran suku iaitu:-

1. Suku Biduanda Salasilah bagi Perut Sialang Puteh
2. Suku Biduanda Kelawang bagi Perut Menteri
3. Suku Biduanda Sempuolang bagi Perut Paduka Tuan
4. Suku Biduanda Rembau bagi Perut Cincang
5. Suku Biduanda Jawa bagi Perut Jawa

Dato’ Batin Rendang (Batin ke-3) pernah ditawarkan oleh British Resident, Tuan Martin Lister untuk menjadi Penghulu Luak di Ulu Jempol dengan gaji sebanyak tiga puloh ringgit (RM30.00) sebulan tetapi beliau tidak menerimanya, namun British Resident tidak pula menawarkan pesaka Dato’ Lembaga  kepada Dato’ Sialang Puteh yang menjadi orang kanan dan pembantu kepada Dato’ Batin. Sebaliknya merangkumkan Suku Biduanda Salasilah ke dalam pentadbiran adat Biduanda Waris dengan menggiliri pesaka Lembaga yang sedia ada. Menjadi komponen yang sama taraf. Walaubagaimanapun perangkuman itu tidaklah menghakiskan kedudukan Dato’ Batin dan Dato’ Sialang Puteh yang boleh memiliki terus harta-harta pesaka yang berupa beberapa buah dusun durian yang diwarisi turun temurun dari nenek moyangnya, begitu juga hak menjaga semua orang asli sama ada di luar atau di dalam hutan di Luak Jempol.


No comments:

Post a Comment