Begitu juga dalam buku Negeri Sembilan dan Sejarahnya (1968) (NSDS) muka surat 131 mencatatkan, yang menjadi Undang Johol pertama ialah anak Nenek Kerbau bernama Puteri Kunun atau nama islamnya Siti Awa yang berkahwin dengan Bendahara Sekudai Dato’ Liman, tidak juga menyebut dengan terang hubungan Undang Luak Rembau dengan Dato’ Batin Bercanggai Besi kecuali menyatakan sebelum datangnya Dato’ Lela Balang dan Dato’ Laut Dalam dari Minangkabau, Rembau diperintah oleh seorang ketua bersuku Biduanda Jakun bernama Dato’ Batin Sekudai, (tidaklah pasti sama ada Batin Sekudai ini orang yang sama dengan Bendahara Sekudai). Tetapi adalah diyakini Dato’ Batin Sekudai ‘Baka’ Dato Kelana itulah juga yang melahirkan Dato’ Undang Luak Rembau. Hasil adanya perkahwinan anak Dato’ Batin Sekudai bernama Bungkal dengan Dato’ Lela Balang pendatang dari Alam Minangkabau itu yang telah melahirkan anak bernama Seri Rama, Undang Luak Rembau yang pertama.
Dalam buku (NSGBSBLTM) dan (NSDS) tulisan Tan Sri Dato’ Samad Idris itu tidak ada menyebut nama Mahagalang, begitu juga Risalah Asal Usul Jempol Waris dan Suku yang ditulis Dato’ Paduka Tuan Abdul Rahman bin Ahmad juga tidak ada menyebut nama itu.
Walaubagaimana juga pun nama Mahagalang atau Menggalang ada disebut di dalam buku Asal Usul Adat Perpatih (AUAP) tulisan Encik Abu Chek bin Mad Sarom 1962. Dan banyak disebut dalam cerita lisan orang tua-tua yang mendegar dan menyimpan cerita itu secara turun temurun. Dalam terombo Biduanda Salasilah Waris Dato’ Batin Jempol memang fokas namanya bahkan dikatakan sebagai 'BAKA' bagi seluruh Suku Biduanda di Negeri Sembilan.
Mahagalang atau Dato’ Batin Mahagalang diyakini sebagai ‘Baka’ bagi Suku Biduanda yang dianggap berdarah ‘Gahara’ yang bersambung salasilah keturunannya kepada Dato’-Dato’ Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Johol. Juga Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung (kecuali Dato’-Dato’ Penghulu Luak Terachi dan Gunung Pasir). Dan dari Dato’ Batin Mahagalang juga salasilah keturunan Dato’-Dato’ Batin yang bersuku Biduanda di Negeri Sembilan khususnya Dato’ Batin Beradat di Luak Jempol.
Sejarah sebenarnya masih tertanya-tanya juga kesahihan siapakah sebenarnya ‘Sultan Johor’ yang dikatakan menjadi suami kepada Mayang Selida anak To’ Batin Bercanggai Besi seperti yang diceritakan dalam buku NSDS itu. Kerana logiknya tidak mungkin seorang Sultan yang gah kebesarannya sanggup bersusah payah mencari sendiri seorang perempuan ‘ghayat’ (orang asli anak Tok Batin) untuk dikahwini, pun sejarah tidak pula menamakan siapakah nama 'Sultan' itu. Dan ada diceritakan juga kononnya Puteri Mayang Selida selepas perkahwinan dengan ‘Sultan’ itu telah dibawa pulang ke Johor mendarat di Tanjung Puteri (itulah kononnya asal nama tempat Tanjung Puteri) tetapi tidak pernah diketahui siapakah waris keturunannya yang masih ada. Kalau riwayat itu benar, tentulah waris keturunannya tidak akan hilang begitu sahaja kecualilah pasangan itu tidak mendapat zuriat.
Sesungguhnya ada diriwayatkan dizaman Laksamana Hang Tuah pernah terjadi di Melaka seorang perempuan orang asli yang rupawan bernama Melor datang ke istana untuk mencari Hang Tuah yang dicintainya, tetapi apabila disembahkan gadis itu kepada Sultan dia cuma layak dijadikan seorang gundik dalam istana. Begitulah lebarnya jurang darjat antara istana dengan ‘ghayat’ pada masa itu.
Kerana itu penulis yakin benarlah menamakan orang yang berkahwin dengan Mayang Selida dan akhirnya menggantikan bapa mertuanya menjadi Batin di Sungai Ujong itu ialah Menggalang/Mahagalang sesuai seperti yang diceritakan dalam buku (AUAP) dan Terombo Biduanda Waris Dato’ Batin Jempol sendiri. Beliau seorang individu yang terlibat legindanya dengan ketabahan ibu yang mengandunginya dijadikan galangan kepada Lancang Kuning datuknya Perpateh Nan Sabatang dipermulaan perantauannya. Mahagalang telah sekian lama meninggalkan tanah Minang kerana menjejaki datuknya, hidup mengembara sambil menimba banyak ilmu dan pengalaman dipelbagai tempat terutamanya di Negeri Johor sebelum sampai ke Sungai Ujung dan menemui datuknya di sana. Kerana beliau kaya dengan pengalaman itulah beliau sangat dihormati oleh penduduk setempat di Sungai Ujung. Penghormatan yang diberikan masyarakat kepada Mahagalang yang mungkin hampir seperti seorang raja tidaklah menghairankan kerana beliau adalah cucu saudara kepada Dato’ Perpatih Nan Sebatang pun memang dia seorang yang berdarah bangsawan, cucunda kepada Puteri Seri Banun dan Raja Kidahindi yang menjadi raja di Pagar Ruyung. Bahkan dalam perjalanan ‘pencariannya’ sebelum sampai ke Sungai Ujong beliau telah singgah di banyak negeri termasuk Muar, Segamat, Johol, Pasir Besar, Kelawang, Ulu Jelebu, Pajam dan akhirnya sampai di Sungai Ujong yang mana di situ beliau menemui datuknya Dato’ Perpateh Nan Sebatang.
Kedatangan Mahagalang bukanlah untuk mencari Mayang Selida tetapi semata-mata untuk menjejaki datuknya yang telah berlayar ke semenanjung lebih dua puluh tahun sebelum itu. Puteri Mayang Selida anak To’ Batin Bercanggai Besi yang dikahwinkan dengan Mahagalang itu adalah secara kebetulan kerana suratan takdir, dan Puteri Mayang Selida tidak pernah dibawa ke mana-mana khususnya ke Johor.
Personaliti Mahagalang yang menarik dan pengalaman luasnya kerana sebelum sampai ke Sungai Ujong, telah banyak berkelana di negeri-negeri yang disebut di atas khususnya di Johor itu berkemungkinan penduduk setempat menamakan beliau dengan nama jolokon ‘Sutan Johor’. Panggilan SUTAN memang menjadi kelaziman masyarakat Minang yang suka memberikan gelaran itu kepada mereka yang istimewa dan dihormati.
Individu yang bernama Mahagalang ini diyakini benar wujudnya seperti juga wujudnya Puteri Mayang Selida yang dikatakan bukan anak yang dilahirkan Ibunya Berdurai Besi tetapi dijumpai oleh Tok Batin Bercanggai Besi bersama isterinya itu di dalam gua batu semasa mereka berburu. Buku AUAP dan Terombo Waris Suku Biduanda Salasilah tentu dapat membantu membenarkan wujudnya individu tersebut sesuai dengan riwayat-riwayat yang diceritakan oleh orang tua-tua sejak dahulu kala.
Penulis menulis Risalah Terombo Biduanda Waris Dalam Konteks Pentadbiran Adat di Luak Jempol ini berpandukan 'Terombo' (sejarah yang tidak bertulis) Suku Biduanda Salasilah Waris Dato’ Batin Jempol disamping rujuk-rujukan seperti yang dicatat di hujung buku ini. Penulis sekali-kali tidak menganggap pendapat yang tidak sama dengan yang tertulis dalam buku ini sebagai tidak benar.
SELAMAT MEMBACA
Nak terombo?
ReplyDeleteNak tahu siapa waris kesultanan Johor itu....
Kaji la bro, hak orang jgn di canang hak sendiri jaga baik.
Kalau tak p mengaji balik...
This comment has been removed by the author.
Delete