23. Adat Penggantian Dato' Batin Jempol
Dato’ Batin Beradat Jempol akan diganti apabila berlaku
- kematian,
- sakit kronik atau gila berpanjangan yang tidak akan sembuh atau
- dimakzulkan kerana melakukan kesalahan adat yang tidak boleh dimaafkan atau
- kerana memuntahkan pesaka
Kematian
Sebaik saja berlaku kematian, Dato’ Batin Jempol, Dato’ Sialang Puteh sendiri akan memaklumkannya kepada YM Dato’ Penghulu Luak. Dato’ Penghulu Luak secara adat akan menasihati Dato’ Sialang Puteh untuk memilih pengganti. Dato’ Penghulu Luak akan hadir pada hari pengkebumian. Dato’ Sialang Puteh dengan persetujuan soko dan anak buah akan melantik seorang pemangku Dato’ Batin yang mana beliau akan mengetuai acara pengkebumian Dato’ Batin yang baru meninggal itu dan beliau juga akan menguruskan sebarang acara selama 3 hari selepas pengkebumian. Dalam masa 90 hari Dato’ Sialang Puteh akan memanggil satu kerapatan Biduanda Salasilah untuk memuktamadkan siapa sebenarnya menjadi pengganti Dato’ Batin. Setelah dimuktamadkan Dato’ Sialang Puteh akan memaklumkan pengganti yang telah diputuskan itu kepada Dato’ Penghulu Luak selepas 90 hari dan Dato’ Penghulu Luak akan menetapkan satu hari untuk menyembahkenalkan Dato’ Batin yang baru kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Semasa mengadap memperkenalkan Dato' Batin yang baru dilantik di Balai Penghulu Luak, Dato’ Sialang Puteh akan mempersembahkan sebahara isi adat (masmanah) bagi pihak Dato’ Batin kepada Dato’ Penghulu Luak Jempol sebagai tanda budi bahasa.
Sebab lain
Jika disebabkan selain dari kematian, iaitu sebab-sebab seperti yang dinyatakan dalam No. 2, 3 atau 4, perkaranya akan diputuskan oleh Dato’ Sialang Puteh dengan persetujuan soko dan anak buah. Dato’ Sialang Puteh akan memaklumkan kepada YM Dato’ Penghulu Luak. Sebarang majlis mengadap sembahperkenan kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diaturkan oleh Dato’ Penghulu Luak.
Catatan
- Dato’ Batin tidak menyembah kepada Dato’ Penghulu Luak. Masmanah yang diberikan semasa mengadap selepas dilantik, adalah sebagai adat budi bahasa semata-mata.
- Warna kebesaran Dato’ Batin ialah warna hitam.
- Adat memberi wang sedekah dihari kematian Dato’ Batin setiap satu sebanyak 1 Rupiah dibalut dengan daun derdap sebanyak 21 keping.
- Pengusung jenazah Dato’ Batin, dibuat dari batang pinang. Seorang anak buah akan berada di ulu usungan sambil memegang payung yang terkembang hinggalah sampai ke kubur.
- Adat mengkebumikan Dato’ Batin hampir-hampir sama dengan adat istiadat pengkembumian Dato’ Lembaga cuma, jenazah Dato’ Batin dikendalikan oleh pemangku Dato’ Batin.
No comments:
Post a Comment