Sebelum datangnya peneroka-peneroka dari Minangkabau dan lain-lain memang telah banyak tempat-tempat yang telah sedia diteroka oleh orang-orang asli di Negeri ini khususnya Suku Biduanda.
Berhubung dengan suku Biduanda secara umumnya, Allahyarham Tan Seri Mubin Sherppard bekas pengarah Muzium Negara yang juga bekas Penasihat British (BA) di Negeri Sembilan pernah menegaskan dalam satu wawancara bahawa menurut kaji selidiknya orang asli peneroka asal di Negeri Sembilan adalah dari kalangan suku Biduanda. Mereka telah mempunyai tamadun sendiri semasa kedatangan orang-orang Minangkabau itu.
Di Jempol Waris Suku Biduanda terbahagi kepada dua (2) kumpulan iaitu:-
- Waris Biduanda asal tempatan iaitu Waris Biduanda yang datang dari Pasir Besar (Pasir Besar dahulunya dalam Luak Jempol).
- Waris Biduanda Dagang yang dimaksudkan ialah Waris Biduanda yang datang dari Luak sekitar seperti Jelebu, Sungai Ujung, Rembau, Johol dan lain-lain.
Di dalam risalah ‘SEJARAH ASAL USUL JEMPOL LUAK DAN SUKU’ (SAUJLDS) yang ditulis oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad, suku-suku Biduanda Dagang ini disebut Biduanda Minangkabau. Sebenarnya tidak ada suku Biduanda yang datang dari Minangkabau kecuali ‘BAKAGAHARA’nya Dato’ Batin Mahagalang yang tidak juga bersuku Biduanda itu, berasal dari tanah Minang.
Di dalam risalah SAUJLDS itu beliau mencatatkan bahawa di Jempol terdapat tujuh (7) Suku Biduanda. Enam berasaskan tempatan, tinggal di Kuala Jempol iaitu, Suku Biduanda Pasak, Suku Biduanda Kaya Menteri, Suku Biduanda Gompo, Suku Biduanda Jegarang, Suku Biduanda Duka Menteri dan Suku Biduanda Maharaja Lela. Manakala satu (1) suku lagi yang diistilahkannya sebagai Biduanda Asas Minangkabau tinggal di Ulu Jempol tanpa keterangan lebih lanjut.
Di dalam risalah ‘BIDUANDA WARIS DI LUAK JEMPOL’ mencatatkan di Jempol terdapat enam (6) Suku Waris Biduanda iaitu Biduanda Salasilah, Biduanda Kelawang, Biduanda Paduka Tuan, Biduanda Rambau dan Biduanda Jawa yang berada di Ulu Jempol. Manakala satu (1) berada di Kuala Jempol iaitu Suku Biduanda Pasak.(Asalnya Biduanda Salasilah). Jika disatukan kedua-dua fakta ini ternyata ada sebelas (11) Suku Biduanda di Jempol iaitu enam (6) di Kuala Jempol dan lima (5) di Ulu Jempol iaitu:-
Menurut Dato’ Padukan Tuan Dato’ Abd Rahman bin Ahmad lagi, diperingkat awal, kesemua Suku-Suku Biduanda di Jempol, adalah mempunyai seorang sahaja penyandang pesaka Dato’ Lembaga iaitu Dato’ Umbi yang disandang oleh Suku Biduanda yang di Ulu Jempol itu.
Sebagai wakil Dato’ Lembaga bagi menguruskan Suku-Suku Biduanda yang berada di Kuala Jempol (Biduanda Pasak) dilantiklah seorang ketua bergelar To’ Mangku.
Berlaku pula peristiwa selepas kematian To’ Paduka Tuan Pandai di Ulu Jempol, pihak pentadbir adat di Kuala Jempol pada masa itu telah membawa pesaka itu ke hilir dengan melantik Johar dari Biduanda Pasak untuk menjadi Buapak dengan memakai gelar To’ Paduka Tuan (gelaran itu diambil dari Suku Biduanda Sempoalang di Ulu Jempol) dan pesaka yang berasal dari hulu itu tidak pernah ke hulu lagi selepas itu. Tambahan pula, sejak To’ Paduka Tuan Nordin yang menggantikan To’ Paduka Tuan Sitam, pesaka itu telah dipertanggungjawabkan sebagai seorang Dato’ Lembaga (bagi Biduanda Pasak).
Akibat dari itu peranan To’ Mangku sebagai wakil Dato’ Umbi tidak berfungsi lagi dan sejak itu juga peranan Dato’ Umbi kepada suku-suku Biduanda yang di hilir itu tidak berjalan pula. Manakala Biduanda Sempuolang perut Paduka Tuan yang asal di Ulu Jempol, selepas berlaku lama kekosongan ditambah pula dengan keadaan semasa yang tidak memungkinkan pesaka itu untuk kembali ke hulu, telah melantik seorang yang bernama Nangka menjadi Buapak untuk mengetuai sukunya dengan gelaran To’ Paduka Tuan.
Selepas berlakunya penyusunan adat di awal kurun ke-20, Biduanda Salasilah yang keseluruhannya telah memeluk agama Islam dan telah menjunjung adat perpatih sebagai cara hidup, Pentadbir Negeri dan Adat telah bersetuju merangkumkan pentadbiran adat perut ini ke dalam Biduanda Waris yang berLembagakan Dato’ Umbi disamping mengekalkan semua keistimewaan yang ada kepadanya sebelum itu.
No comments:
Post a Comment