Saturday, 13 October 2012

7. Sempadan Luak

(menurut tulisan Dato' Komo Hj. Duaji)

Luak Jempol merupakan salah satu daripada lima luak yang meliputi 'Luak Tanah Mengandung'. Di samping Penghulu Jempol menjadi tunggak pemerintahan beradat, diwujudkan pula jawatan Tengku Muda Serting bagi luak berkenaan. Ini bermakna luak berkenaan meliputi juga Serting. Sempadan luak berkenaan diungkapkan dalam perbilangannya :-

  • Batasan Muar, sepanjang Sungai Muar
  • Batasan Jempol, sepanjang Sungai Jempol
  • Batasan Johol, sepanjang Sungai Jelai

Ini bermakna sempadan yang dikatakan luak Jempol itu meliputi kawasan bahagian hulu sungai hingga ke kuala Sungai Jempol. Termasuklah Guntur, Tengkek, Padang Lebar, Terentang, Batu Kikir, Serting Ulu, Serting Hilir, Kuala Jempol, Bahau, Ayer Hitam, Keru, Jerjak, Sungai Jelutong, Seri Melenggang, Sungai Talan, Bukit Sempit, Palong, Bayai, Simpang Pertang, Paloh (sekarang Pasoh), Juasseh dan lain-lain lagi.


Newbold dalam bukunya yang diterbitkan tahun 1839 mencatatkan, pernah berlaku perebutan sempadan antara Penghulu Jempol dan Undang Luak Jelebu. Ketika ini Penghulu Jempol ialah Dato’ Lela Putera Setiawan, Dato’ Penghulu Hassan. Tidak pula diketahui Undang Luak Jelebu yang mana terbabit dalam krisis sempadan itu (dalam terombo Biduanda Salasilah dikatakan Jempol berebut sempadan dengan Pahang).


Ketika ini menurut Newbold, setiap Undang Luak Jelebu yang dikerjankan di Jelebu, akan dikerjankan semula di Ulu Jempol yang menjadi wilayah luak Jelebu (kerana ada satu ungkapan pada masa itu ‘Ulu Jempol serambi Jelebu’) iaitu di Kampung Bukit. Penghulu Jempol telah menuntut haknya ke atas Ulu Jempol kerana aliran sungai yang sama. Krisis sempadan ini berakhir apabila Undang Luak Jelebu dengan nasihat Dato’ Batin Rendang telah bersetuju menyerahkan Ulu Jempol kepada Penghulu Jempol, Dato’ Hassan. Bermula daripada peristiwa inilah wilayah Jempol itu menjadi satu, meliputi dari hulu hingga ke kuala sungainya. Di hulu ada satu tempat dikenali dengan nama Titian Teras yang menjadi persinggahan bagi orang-orang pada masa itu dalam perjalanan dari Jelebu ke Pahang.


Bagaimanapun, berpandukan geografi Luak Jempol bukanlah sebahagian dari wilayah Jelebu kerana sudah nyata bahawa Sungai Jempol tidak mengalir ke Jelebu. Namun 2 orang Datuk Batin sebelum Batin Rendang di Ulu Jempol (Danau Rasau), lebih menghadap ke Balai Undang Luak Jelebu dari ke Balai Undang Luak Johol. Mungkin disebabkan adanya hubungan persemendaan yang telah terjalin.


Berpandukan realiti adat dan sejarah, untuk mendapatkan seorang calon Penghulu Luak, penduduk di Kuala Jempol pula telah mengutus tiga (3) orang wakil mengadap ke Balai Undang Luak Johol tidak ke Balai Undang Luak Jelebu. Mereka-mereka itu ialah

  1. To’ Pengiran
  2. To’ Maliga
  3. To’ Poyang 

Apabila Dato’ Johol mengirimkan calon penghulu seorang perempuan, mereka menolaknya. Tidak seperti luak Ulu Muar yang bersedia menerima anak perempuan untuk jadi penghulu. Orang-orang di Jempol lebih bersedia menerima seorang anak kecil  untuk dijadikan penghulu mereka asalkan dari suku Waris Biduanda asal keturunan Undang Luak Johol.

Setelah kedatangan Raja Minangkabau memerintah di Seri Menanti, Luak Jempol dijadikan pula sebagai salah satu daripada ‘Luak Tanah Mengandung’.

8. Peneroka Awal

(menurut tulisan Dato' Komo Hj Duaji)

Terdapat berbagai pendapat mengenai penerokaan awal Luak Jempol ini. Kesahihan dakwaan ini masih tidak dapat ditentukan. Ada cerita yang mengatakan bermula daripada sembilan (9) orang dalam satu kumpulan yang bersahabat karib membuka kawasan tersebut. Mereka dikatakan berasal dari Sumatera. Bersama-sama mereka terdapat juga pengikut-pengikut atau anak-anak buah yang ikut mencari penempatan baru.


Penduduk di Tanah Minang juga mengakui bahawa anak-anak Minangkabau digalakkan merantau dengan meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari pengalaman hidup. Bersesuaian  dengan ungkapan yang menyebut: -

Keratau madang di hulu
Babuah babungo balun
Marantau bujang dahulu
Di rumah paguno balun

Rombongan tersebut singgah di Merbau Seratus (Pasir Besar).  Di situ mereka membuat penempatan. Apabila sudah membuat penempatan di Pasir Besar mereka mudik lagi ke hulu dengan meninggalkan beberapa keluarga menetap di sana. Cara mereka meneroka sesuatu tempat juga mempunyai persamaan dengan peneroka-peneroka di Ulu Muar.


Perjalanan melalui sungai tersebut hingga sampai ke beberapa cabang lagi yang mengalir masuk ke Sungai Muar. Mereka berpecah di situ. Sebahagian mudik masuk Sungai Jelai terus ke Johol, manakala sebahagian lagi memasuki Pahang.


Kumpulan yang mudik mengikut Sungai Jempol terus mencari penempatan di situ yang sesuai untuk bercucuk tanam. Di kawasan yang mereka terokai itu memang sudah didiami oleh anak tempatan suku kaum Asli. Masyarakat mereka belumlah ramai. Kampung yang mereka terokai itu dikenali sebagai ‘Penarikan’. Sebagai golongan migran mereka  meminta izin daripada anak-anak tempatan untuk memulakan penghidupan baru di situ.


Hubungan mereka dengan anak-anak tempatan terjalin akrab hingga berlakunya semenda menyemenda antara satu sama lain. Setelah penduduknya bertambah ramai melalui semenda menyemenda itu, mereka membentuk pentadbiran di bawah seorang ketua. Disebabkan golongan migran berkenaan lebih memahami peraturan dan pentadbiran, dilantiklah ketua dari puak mereka.


Bagaimanapun demi menjaga jalinan hubungan dengan anak-anak tempatan, mereka juga dibawa sama dalam pemerintahan. Bermula daripada sinilah terbentuknya sepuluh suku di kalangan penduduk di Jempol, dengan tiap-tiap suku mempunyai ketua yang diberi gelaran Dato’ Lembaga’.


Demikianlah fakta tulisan (yang telah diselitkan sedikit pembetulan) oleh YM Dato’ Komo Hj Duaji bin Bakar dalam buku Luak Tanah Mengandung tentang asal nama Jempol dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya diperturunkan dengan menyalinnya secara panjang lebar untuk dapat dinilai bersama.



KESIMPULAN

Berdasarkan tulisan di atas membuktikan kawasan itu (Penarikan) telah sedia didiami orang sebelum Datuk Sempadang dan pengikut-pengikutnya datang ke situ.

Berhubung dengan asal nama Jempol penulis yakin bahawa perkataan ‘JEMPOL’ yang diucapkan sambil menggenggam tangan dan menegakkan ibu jari ke atas oleh Datuk Sempadang sendiri atau pengikut-pengikutnya selepas selesai membuat tinjauan di kawasan sungai itulah sebenarnya yang menjadi asal nama Sungai Jempol seperti yang disebutkan oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman dalam risalahnya itu.


Ibu jari tangan dalam bahasa Jawa memang disebut Jempol. Jempol yang ditegakkan sambil menggenggam jari-jari tangan memanglah lumrah mengisyaratkan baik, bagus atau cantik.


Demikianlah perbincangan asal usul nama Luak Jempol yang dinisbahkan kepada sebatang sungai yang hulunya datang dari sebuah bukit yang dinamakan Bukit Peraja mengalir melalui Luak Jempol dengan kualanya masuk ke Sungai Muar.


Jempol sejak dahulu sentiasa terbahagi dua (2); dahulu bahagian Ulu di bawah Jelebu sehingga ada ungkapan 'Ulu Jempol serambi Jelebu' dan bahagian Hilir di bawah Johol sehingga ada ungkapan 'Kuala Jempol serambi Johol'. Sekarang, Ulu Jempol di bawah pentadbiran Daerah Kuala Pilah manakala Kuala Jempol di bawah pentadbiran Daerah Serting. Namun pentadbiran adatnya adalah satu. Luak Jempol.


Sempadan bahagian Ulu dan Kuala Jempol ialah tempat yang bernama Bukit Sempit yang jaraknya dari pekan Batu Kikir lebih kurang tiga kilometer menghala ke Padang Lebar.



9. Pak Sudum Durai peneroka di Ulu Jempol

To’ Batin Pak Sudum Durai anak Batin (Puteri) Kunun adalah cucu Dato’ Korbau.  Ibunya memberinya nama Durai mengambil sempena nama moyangnya Berdurai Besi isteri Dato’ Batin Bercanggai Besi. Beliau bersama Pak Belukang dan saudara perempuannya Nenek Relong adalah Biduanda Asal (Salasilah) sejak mudanya membuat penempatan di Bukit Salai di Pasir Besar. Mereka mendiami perkampungan itu dengan aman dan selesa. Setelah menjelang umur agak tua sedikit beliau dengan beberapa orang saudara dan  pengikutnya terpaksa mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman kerana sebab yang dipercayai ada hubungkait dengan peristiwa kejatuhan kerajaan Melayu di Melaka.

Sejak kekalahan Melaka itu acapkali benar sepion-sepion penjajah datang ke Pasir Besar kononnya bagi menjejaki mereka yang dianggap sebagai pemberontak yang tidak mahu patuh kepada pihak penjajah di Melaka itu. Dengan itu penduduk-penduduk di perkampungan itu kebanyakannya telah merasa terancam dan tidak lagi tenteram. Bagi mereka yang ada pengikut seperti Pak Sudum Durai telah membuat keputusan meninggalkan Bukit Salai di Pasir Besar mencari penempatan baru kebetulan pula kehidupan orang asli memang suka berpindah randah. Pak Sudum Durai yang memilih memudiki Sungai Leban Condong hingga ke hulunya dan akhirnya membuat penempatan di Danau Rasau (Danau adalah satu lubuk besar dan Rasau adalah sejenis tumbuhan rumpai air) di Ulu Jempol. Sekarang tempat itu dinamakan Kampung Guntur.


Dari Bukit Salai di Pasir Besar inilah juga tempat asalnya Dato’ Daim Penghulu pertama Luak Jempol bersama ibunya Patam dijemput pada awal sejarah Jempol berPenghulu, setelah mendapat persetujuan dari Undang Johol, Dato’ Rambutan Jantan.




10. Mahagalang 'Baka' Waris Budianda yang 'Gahara'

Dikalangan pemuka-pemuka adat, pencinta dan pengamal Adat Perpatih di Negeri Sembilan, apabila membicarakan asal-usul adat perpatih yang dibawa oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang dari Minangakabau dan akhirnya diterima pakai oleh masyarakat di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka itu, tidak akan lengkap tanpa menyebut satu nama besar yang dinisbahkan sebagai asal sebenar ‘BAKA’ keturunan Suku Biduanda yang mendominasi penyandang pesaka-pesaka besar adat di Negeri Sembilan.

Pesaka Dato’-Dato’ Undang Luak dan kebanyakan pesaka Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung termasuk pesaka Dato’ Batin Beradat di Luak Jempol itu, salasilah keturunannya bertaut sampai kepada beliau.


Nama itu ialah Menggalang atau Dato’ Batin Mahagalang, cucu saudara benar kepada Dato’ Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.


Mengikut riwayat, semasa Dato’ Perpatih Nan Sebatang hendak melancarkan ‘Lancang Kuning’nya untuk berlayar meninggalkan kampung halamannya Padang Lawas di Luhak Tanah Datar di Minangkabau, beliau terpaksa menggalangkan anak sulung saudaranya yang sedang 'bunting sulung' pula (di dalam terombo Biduanda Salasilah disebut namanya Soko Upik tentunya bukan namanya yang sebenar) di hadapan lancangnya untuk membolehkan lancang itu diluncurkan dengan mudah berdasarkan mimpi beliau yang mengkehendaki begitu, selepas usaha melancarkannya sebelum itu tidak berjaya walaupun ditolak menggunakan tenaga manusia yang ramai. Selepas lancang itu berjaya dilancarkan didapati anak saudaranya yang menjadi penggalang itu selamat dan tidak cedera sedikit jua pun seketika itu pula melahirkan seorang anak lelaki lalu diberi nama Menggalang atau Mahagalang. Dato’ Perpatih pun berlayar meniggalkan tanah Minang.


Di Minangkabau, adat anak muda hendaklah keluar mengembara untuk mencari pengalaman yang dianggap sebagai satu kemestian seperti bunyi serangkap pantun:-

Lang kota terbang ke ulu
Membuat sarang di ulu aai
Baiklah rang modo merantau dulu
Di kampung balun baguno lai

Begitulah Menggalang apabila berumur lebih kurang dua puluh tahun, beliau telah berlayar meninggalkan kampung halamannya mengikut jejak Datuk saudaranya Perpatih Nan Sebatang yang tidak diketahui berada di mana, merantau ke Semenanjung hingga akhirnya beliau bertemu dengan datuk saudaranya itu di Sungai Ujung. Di Sungai Ujung beliau dikahwinkan dengan seorang anak perempuan Tok Batin Bercanggai Besi yang menjadi sahabat karib kepada Perpatih Nan Sebatang (Tok Batin Bercanggai Besi seperti juga bapanya Seri Alam sebelum menjadi Tok Batin dipercayai pernah berkhidmat sebagai Biduanda di istana Raja Melaka).


Takdir menyebelahi Menggalang apabila bapa mertuanya meninggal, beliau telah dilantik menjadi Tok Batin dengan gelaran Dato’ Batin Mahagalang. Dato’ Batin Mahagalang mendapat empat orang anak dengan isterinya anak Tok Batin Bercanggai Besi itu. Keempat-empat anaknya itu semuanya menjadi Dato’ Undang’. Yang tua lelaki dijadikan Undang Luak Sungai Ujung, yang tengah juga lelaki dijadikan Undang Luak Jelebu, anak lelaki bongsunya dijadikan Undang Luak Rembau manakala anaknya yang alang (ketiga) dijadikan Undang Luak Johol. Beliau sahajalah yang merupakan seorang Soko (perempuan) yang dijadikan Dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan.



11. Suku Biduanda

Tidaklah diketahui dengan tepat asal usul gelaran BIDUANDA yang digelarkan kepada salah satu suku orang asli di Negeri Sembilan itu.

Mengikut Encik Abu Chek bin Mat Sarum penulis buku ‘Asal Usul Adat Perpatih’ yang ditulisnya pada tahun 1961, perkataan Biduanda itu dari Badwi. Orang Badwi dari tanah Arab yang sebelum datang membuka negeri di Negeri Sembilan telah singgah di Indocina dan orang-orang Indocina memanggil orang-orang Arab itu Biduanda. Beliau juga menulis bahawa seolah-olah semua orang asli di Negeri Sembilan bersuku Biduanda.


Saranan itu berkemungkinan tidak tepat kerana:-

  1. Orang Arab yang datang ke Tanah Melayu sudah sedia beragama Islam. Manakala orang-orang Biduanda yang telah sedia ada di Negeri Sembilan pada masa itu penganut ‘animisme’ barulah mengenal Islam selepas kedatangan orang-orang Arab itu.
  2. Tidak semua orang asli di Negeri Sembilan bersuku Biduanda bahkan terdapat berbagai-bagai suku seperti Semelai, Jakun, Temuan, Temiar dan lain-lain.

Di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol, ada disebut bahawa, gelaran 'Biduanda' itu berasal dari gelaran orang yang bertaraf  pegawai yang bertugas di dalam istana raja-raja zaman silam. Bahkan memang terdapat gelaran Biduanda di dalam buku-buku dan hikayat-hikayat lama yang merujuk adanya pegawai dalam istana zaman dahulu itu yang dipanggil 'Biduanda' khususnya di istana Temasik dan Melaka. Tidak semua Biduanda petugas-petugas di istana itu bertugas hingga akhir hayat namun mereka tetap dikenali sebagai Biduanda walaupun selepas bersara.


Selepas bersara mereka membawa diri dan membuka negeri (perkampungan) seperti Tok Batin Seri Alam bapa kepada Tok Batin Bercanggai Besi yang membuka Sungai Ujung itu. Pengikut-pengikut mereka biasanya dipanggil ‘Ghayat’ (rakyat), walaupun mereka terdiri daripada berbagai-bagai nama suku misalnya Jakun, Semelai Temiar dan lain-lain. Di Negeri Sembilan panggilan itu kekal beberapa lama sehinggalah diselaraskan dengan panggilan 'Orang Asli' kira-kira pada pertengahan kurun ke-20, selepas Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ditubuhkan.


12. Kelebihan Suku Biduanda

Kelebihan Suku Biduanda dalam pentadbiran adat yang bermula dari Sungai Ujung itu bermula apabila anak Tok Batinnya Puteri Mayang Selida berkahwin dengan Mahagalang cucu saudara benar Dato’ Perpatih Nan Sebatang yang datang dari alam Minangkabau itu. Memang menjadi kebiasaan seorang pendatang baru ada mempunyai ciri-ciri kelebihan pada pandangan penduduk tempatan. Sebagai seorang anak rantau yang budiman, Menggalang sangat dihormati dan dimuliakan oleh pendatang-pendatang Minangkabau yang sedia ada di Sungai Ujung kerana memang beliau berasal dari keturunan bangsawan di Minangkabau tambahan (klik) urang awak dan beliau dihormatmuliakan juga oleh orang asli penduduk tempatan kerana telah berkahwin dengan anak Tok Batinnya. Dengan adanya beberapa kelebihan yang terkumpul kepada Mahagalang itu penduduk tempatan mengganggap semua anak-anak yang lahir dari perkahwinan Mahagalang dengan isterinya Puteri Mayang Selida itu lebih mulia sebagai anak Biduanda yang berdarah ‘GAHARA’.

Kerana mempunyai darah gahara itulah semua luak Jelebu, Rembau, Johol dan Sungai Ujung sendiri telah bersetuju menerima perlantikan semua anak-anak Dato’ Batin Mahagalang cucu kepada Dato’ Batin Bercanggai Besi itu untuk menjadi Dato’ Undang.


Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung juga termasuk Dato’-Dato’ Batin dilantik dari kalangan Suku Biduanda. Walaupun Dato’-Dato’ Penghulu Luak Terachi dan Gunung Pasir tidak dilantik dari kalangan suku Biduanda, itu ada sebab lain namun menjadi syarat di Terachi setiap  Penghulu Luak yang dilantik kejawatan itu isterinya hendaklah seorang perempuan yang bersuku Biduanda Waris.


Kerana mengutamakan darah Biduanda yang gahara itulah juga yang merangsang pendatang-pendatang Minang yang bertanggungjawab hendak melantik Penghulu Luak pertama di Luak Jempol berurusan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan matabenih dari keturunan Dato’ Batin Mahagalang sehingga pergi mengadap kepada YM Dato’ Undang Luak Johol yang mana mereka tahu Dato’ Undang Luak Johol itu adalah waris Soko tunggal Biduanda gahara dari Batin Mahagalang di Sungai Ujung itu.


13. Waris Biduanda/Biduanda Waris di Jempol

Dalam adat persukuan di Negeri Sembilan nama suku Biduanda memang satu nama yang tidak asing bahkan terpenting dengan kedudukan dan keistimewaan-keistimewaan yang tertentu. Apabila disebut Waris Biduanda maknanya merujuk kepada sebahagian atau pecahan atau salah satu daripada suku itu kerana walaupun mereka berasal dari satu rumpun sahaja tetapi pecahan-pecahan suku Biduanda terpaksa dipanggil dengan berbagai nama untuk memudahkan tadbir dan menguruskan kebajikan kumpulan (perut) masing-masing. Tetapi apabila disebut Biduanda Waris maka panggilan itu meliputi seluruh suku-suku Biduanda. Rumpun Biduanda yang asal berketurunan 'Baka' dari Dato’ Batin Mahagalang dipanggil dengan nama Biduanda Salasilah (yang bermaksud salasilahnya sampai kepada Dato’ Batin Mahagalang).

Sebelum datangnya peneroka-peneroka dari Minangkabau dan lain-lain memang telah banyak tempat-tempat yang telah sedia diteroka oleh orang-orang asli di Negeri ini khususnya Suku Biduanda.


Berhubung dengan suku Biduanda secara umumnya, Allahyarham Tan Seri Mubin Sherppard bekas pengarah Muzium Negara yang juga bekas Penasihat British (BA) di Negeri Sembilan pernah menegaskan dalam satu wawancara bahawa menurut kaji selidiknya orang asli peneroka asal di Negeri Sembilan adalah dari kalangan suku Biduanda. Mereka telah mempunyai tamadun sendiri semasa kedatangan orang-orang Minangkabau itu.


Di Jempol Waris Suku Biduanda terbahagi kepada dua (2) kumpulan iaitu:-

  1. Waris Biduanda asal tempatan iaitu Waris Biduanda yang datang dari Pasir Besar (Pasir Besar dahulunya dalam Luak Jempol).
  2. Waris Biduanda Dagang yang dimaksudkan ialah Waris Biduanda yang datang dari Luak sekitar seperti Jelebu, Sungai Ujung, Rembau, Johol dan lain-lain.

Di dalam risalah ‘SEJARAH ASAL USUL JEMPOL LUAK DAN SUKU’ (SAUJLDS) yang ditulis oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad, suku-suku Biduanda Dagang ini disebut Biduanda Minangkabau. Sebenarnya tidak ada suku Biduanda yang datang dari Minangkabau kecuali ‘BAKAGAHARA’nya Dato’ Batin Mahagalang yang tidak juga bersuku Biduanda itu, berasal dari tanah Minang.


Di dalam risalah SAUJLDS itu beliau mencatatkan bahawa di Jempol terdapat tujuh (7) Suku Biduanda. Enam berasaskan tempatan, tinggal di Kuala Jempol iaitu, Suku Biduanda Pasak, Suku Biduanda Kaya Menteri, Suku Biduanda Gompo, Suku Biduanda Jegarang, Suku Biduanda Duka Menteri dan Suku Biduanda Maharaja Lela. Manakala satu (1) suku lagi yang diistilahkannya sebagai Biduanda Asas Minangkabau tinggal di Ulu Jempol tanpa keterangan lebih lanjut.


Di dalam risalah ‘BIDUANDA WARIS DI LUAK JEMPOL’ mencatatkan di Jempol terdapat enam (6) Suku Waris Biduanda iaitu Biduanda Salasilah, Biduanda Kelawang, Biduanda Paduka Tuan, Biduanda Rambau dan Biduanda Jawa yang berada di Ulu Jempol. Manakala satu (1) berada di Kuala Jempol iaitu Suku Biduanda Pasak.(Asalnya Biduanda Salasilah). Jika disatukan kedua-dua fakta ini ternyata ada sebelas (11) Suku Biduanda di Jempol iaitu enam (6) di Kuala Jempol dan lima (5) di Ulu Jempol iaitu:-


BIL
NAMA SUKU
ASAL
KATEGORI
KAWASAN MENETAP
1.
Biduanda Pasak
Pasir Besar
Tempatan
Kuala Jempol
2.
Biduanda Kaya Menteri
Pasir Besar
Tempatan
Kuala Jempol
3.
Biduanda Gompo
Pasir Besar
Tempatan
Kuala Jempol
4.
Biduanda Jegarang
Johol/Pahang
Dagang
Kuala Jempol
5.
Biduanda Duka Menteri
Pulau Pinang
Dagang
Kuala Jempol
6.
Biduanda Maharaja Lela
Johol
Dagang
Kuala Jempol
7.
Biduanda Salasilah
Pasir Besar
Tempatan
Ulu Jempol
8.
Biduanda Kelawang
Jelebu
Dagang
Ulu Jempol
9.
Biduanda Paduka Tuan
Jelebu
Dagang
Ulu Jempol
10.
Biduanda Rembau
Rembau
Dagang
Ulu Jempol
11.
Biduanda Jawa
Sungai Ujung
Dagang
Ulu Jempol



Menurut Dato’ Padukan Tuan Dato’ Abd Rahman bin Ahmad lagi, diperingkat awal, kesemua Suku-Suku Biduanda di Jempol, adalah mempunyai seorang sahaja penyandang pesaka Dato’ Lembaga iaitu Dato’ Umbi yang disandang oleh Suku Biduanda yang di Ulu Jempol itu.

Sebagai wakil Dato’ Lembaga bagi menguruskan Suku-Suku Biduanda yang berada di Kuala Jempol (Biduanda Pasak) dilantiklah seorang ketua bergelar To’ Mangku.


Berlaku pula peristiwa selepas kematian To’ Paduka Tuan Pandai di Ulu Jempol, pihak pentadbir adat di Kuala Jempol pada masa itu telah membawa pesaka itu ke hilir dengan melantik Johar dari Biduanda Pasak untuk menjadi Buapak dengan memakai gelar To’ Paduka Tuan (gelaran itu diambil dari Suku Biduanda Sempoalang di Ulu Jempol) dan pesaka yang berasal dari hulu itu tidak pernah ke hulu lagi selepas itu. Tambahan pula, sejak To’ Paduka Tuan Nordin yang menggantikan To’ Paduka Tuan Sitam, pesaka itu telah dipertanggungjawabkan sebagai seorang Dato’ Lembaga (bagi Biduanda Pasak).


Akibat dari itu peranan To’ Mangku sebagai wakil Dato’ Umbi tidak berfungsi lagi dan sejak itu juga peranan Dato’ Umbi kepada suku-suku Biduanda yang di hilir itu tidak berjalan pula. Manakala Biduanda Sempuolang perut Paduka Tuan yang asal di Ulu Jempol, selepas berlaku lama kekosongan ditambah pula dengan keadaan semasa yang tidak memungkinkan pesaka itu untuk kembali ke hulu, telah melantik seorang yang bernama Nangka menjadi Buapak untuk mengetuai sukunya dengan gelaran To’ Paduka Tuan.


Selepas berlakunya penyusunan adat di awal kurun ke-20, Biduanda Salasilah yang keseluruhannya telah memeluk agama Islam dan telah menjunjung adat perpatih sebagai cara hidup, Pentadbir Negeri dan Adat telah bersetuju merangkumkan pentadbiran adat perut ini ke dalam Biduanda Waris yang berLembagakan Dato’ Umbi disamping mengekalkan semua keistimewaan yang ada kepadanya sebelum itu.